Skandal manipulasi beras tempatan, Ronald Kiandee tegur KPKM

Skandal manipulasi beras tempatan, Ronald Kiandee tegur KPKM

RONALD KIANDEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) disaran untuk tidak berada dalam sindrom penafian berkenaan skandal manipulasi pemasaran beras putih tempatan (BPT) ketika ini.

Pengerusi JK Portfolio Pertanian Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, kementerian seharusnya lebih serius dan peka menangani isu kekurangan BPT ini yang hanya berlaku ketika harga runcit Beras Putih impot mencecah sehingga RM3.90 sekilo, berbanding harga kawalan runcit BPT pada harga RM2.60 sekilo.

Katanya, perbezaan harga yang ketara ini pastinya merupakan salah satu faktor pendorong kepada skandal manipulasi untuk terus berlaku.

“Negara secara konsisten telah berjaya mengeluarkan beras tempatan mencecah 65 peratus Tahap Sara Diri (SSL) dan hanya mengimpot 35 peratus daripada keperluan. Malah sebahagian besar daripada beras yang diimport ini adalah beras wangi dan beras istimewa dan bukan beras putih.

“Persoalanya di mana perginya beras putih tempatan yang secara tiba-tiba berkurangan secara ketara ketika ini? Apakah jaminan kementerian bahawa kekurangan ini tiada kaitan dengan kenaikan harga runcit beras import?

“Tindakan menteri dan kementerian sekadar mengeluarkan kenyataan penafian bahawa tiada manipulasi beras tempatan dijual sebagai beras import adalah amat tidak memadai.

“Kementerian harus lebih proaktif dalam memastikan pengguna tidak ditindas oleh pihak yang bertanggungjawab yang ingin meraih keuntungan memanipulasi beras tempatan sebagai beras import,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Beluran itu berkata, tindakan menghadkan pembelian 100 kilogram bagi setiap individu seperti yang diumumkan oleh kementerian hari ini adalah sekadar melepaskan batuk di tangga.

Katanya, ia tidak menampakkan kesungguhan dan keprihatinan kerajaan kerana pengumuman seperti ini pada hakikatnya tidak memberi kesan sekiranya tidak disusuli dengan tindakan pengkuatkuasaan yang berkesan.

“Kekurangan beras putih tempatan di pasaran akan lebih meresahkan, membebankan dan mengecewakan rakyat yang pada ketika ini sedang berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup sejak pemerintahan kerajaan pimpinan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim.

“Saya memohon agar kerajaan lebih peka dan memastikan bekalan beras tempatan tidak akan dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kerajaan membelanja lebih RM1.8 billion setahun melalui pelbagai subsidi untuk memastikan rakyat Malaysia menikmati bekalan beras putih tempatan pada harga RM1.80 sekilo,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN