Siarkan secara langsung penjelasan AG kes DNAA Ahmad Zahid 

Parlimen: Siarkan secara langsung penjelasan Peguam Negara tentang kes DNAA Ahmad Zahid 

AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari mencadangkan supaya prosiding Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi yang akan memanggil Peguam Negara bagi menjelaskan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan disiar secara langsung.

Menteri Besar Selangor berkata, menerusi siaran langsung akan membolehkan rakyat mendengar dan memahami isu melibatkan Timbalan Perdana Menteri itu.

Beliau berkata, pilihan lain yang boleh dipertimbang ialah mengadakan prosiding secara terbuka menerusi pendengaran awam.

“Saya percaya proses JKPK Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi wajar diadakan secara ‘live telecast’ (siaran langsung) ataupun pendengaran awam yang boleh didengar oleh rakyat kerana ia telah menjadi isu rakyat,” katanya semasa perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, Pengerusi JKPK Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, William Leong Jee Keen memberitahu, akan memanggil Peguam Negara bagi menjelaskan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan rasuahnya.

Katanya, satu laporan akan dibentang kepada Dewan Rakyat sebaik sahaja selesai prosiding jawatankuasa itu nanti.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Machang daripada Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dilaporkan meminta sidang khas Dewan Rakyat ditangguh mengikut Perkara 18 (1) dan (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat, berhubung permohonan penjelasan daripada Peguam Negara mengenai keputusan penarikan balik 47 pertuduhan ke atas Ahmad Zahid.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul telah menolak usul tergemparnya sehingga mencetus rasa tidak puas hati dalam kalangan pembangkang.

Pembangkang pula mendakwa Johari tidak mengotakan janjinya yang sebelum itu mahu ‘memberi ruang’ untuk berbincang mengenai usul tersebut. Wan Ahmad Fayhsal mendakwa Johari mendapat ‘arahan’ baharu oleh sesetengah pihak.

Pun begitu, Johari telah menjelaskan bahawa ‘ruang dan peluang’ yang dimaksudkan kepada pembangkang untuk bercakap mengenai kes Ahmad Zahid adalah tidak terhad kepada tempoh waktu tertentu khususnya pada hari pertama mesyuarat khas Dewan Rakyat, Isnin lalu.

Katanya, kesemua ahli Parlimen masih mempunyai baki beberapa hari sepanjang mesyuarat khas Dewan Rakyat untuk menyentuh berhubung perkara itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya