NIBONG TEBAL: Seorang maut, enam cedera manakala 14 lagi selamat dalam nahas jalan raya yang membabitkan dua treler dan empat buah kenderaan lain, awal pagi tadi.
Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi di Kilometer (KM) 164.8, Lebuhraya Utara Selatan-Bukit Minyak di Sungai Bakap, di sini.
Menurutnya, mangsa yang terbunuh merupakan seorang wanita dan dibawa ke Hospital Sungai Bakap (HSB) di sini untuk urusan bedah siasat.
“Ketika bomba sampai di lokasi, beberapa orang didapati berada dalam keadaan tersepit dalam kenderaan yang terlibat.
“Kemalangan itu juga menyebabkan salah sebuah treler yang membawa muatan kayu terbalik dan melintangi jalan,” katanya di sini, hari ini.
Jelasnya, kerja-kerja menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dilakukan dengan menggunakan peralatan khas atau ‘rescue tools’.
“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dan dihantar ke HSB untuk menerima rawatan.
“Ketika ini, operasi menyelamat masih lagi di jalankan bagi memastikan tiada lagi kenderaan atau mangsa yang tertimbus di bawah longgokan kayu yang dibawa oleh treler,” tambahnya.-UTUSAN









