Semua perlu hormat, akur arahan pihak berkuasa agama negeri - Ustaz Kazim - Utusan Malaysia

Semua perlu hormat, akur arahan pihak berkuasa agama negeri – Ustaz Kazim

MOHD. Najmuddin Elias (dua dari kanan) menyampaikan watikah pelantikan sebagai Tokoh Agama Perkim Negeri Perak kepada Mohd. Kazim Elias di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Semua pihak perlu menghormati dan akur terhadap arahan pihak berkuasa agama negeri mengenai penangguhan sesi mengajar dan bersyarah oleh semua penceramah agama termasuk dari luar negara ke Perak.

Penceramah bebas, Datuk Mohd. Kazim Elias berkata, arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) itu bukanlah sesuatu yang baharu malah telah dilaksanakan oleh beberapa negeri sebelum ini.

“Sebenarnya, arahan yang sama telah keluar daripada pihak berkuasa agama negeri lain sebelum Perak. Sebab itu, kita tidak perlu terkejut kerana ada negeri yang telah mendahului Perak, ada yang hampir empat tahun keluarkan arahan sama.

“Jadi, apa yang Perak buat ini (penangguhan sementara) bagi saya tiada apa-apa, negeri lain sudah buat dan kenapa tidak kecoh pun.

“Lagi pun, ini adalah di bawah bidang kuasa Sultan Perak dan baginda juga sama sekali tidak menghalang ceramah. Bagi yang ada tauliah, ceramah tidak disekat dan berjalan seperti biasa. Yang tidak dibenarkan sementara waktu ini adalah penceramah luar kerana JAIPk perlu buat penyusunan semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima watikah pelantikan sebagai Tokoh Agama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Perak 2023-2025 di Pusat Pendidikan Al-Barakah di Manjoi di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi PERKIM Perak, Datuk Mohd. Najmuddin Elias.

Mengulas lanjut beliau berkata, larangan kepada penceramah yang tiada tauliah untuk mengajar atau berceramah juga tidak perlu dijadikan isu sebaliknya ia perlu dipatuhi semua pihak.

“Bagi saya mudah sahaja, kita pergi ke tempat yang dibenarkan untuk ceramah. Saya sendiri tiada tauliah ceramah di beberapa negeri, jadi saya tidak pergi.

“Terimalah hakikat bahawa kita ada peraturan dan kita perlu patuh kepada peraturan. Saya rakyat Perak dan dibenarkan ceramah di sini jadi saya ceramahlah. Saya tidak perlu kecil hati kalau saya tidak dibenarkan ceramah di negeri lain, itu benda biasa,” katanya.

Tambah beliau, JAIPk dan Jabatan Mufti Perak diharap membuat yang terbaik dalam usaha penyusunan semula ceramah di negeri ini selagi mana penceramah yang diundang tidak menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menerusi laporan media Pada 23 Ogos lalu, JAIPk memaklumkan semua sesi mengajar dan bersyarah oleh penceramah dari luar dan dalam negeri Perak di semua masjid dan surau berdaftar dengan jabatan agama itu ditangguhkan serta-merta.

Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, penangguhan itu susulan Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak sedang membuat penambahbaikan bagi Garis Panduan Permohonan Penceramah dan Pengajar di masjid dan surau.

Katanya, ia sebagai usaha penyusunan semula konsep serta kaedah dakwah dan pengajaran agama Islam selari dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Aliran Asyairah dan Maturidiah. – UTUSAN

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN