Sekat peruntukan kewangan kepada negeri pembangkang tindakan dera rakyat - Utusan Malaysia

Sekat peruntukan kewangan kepada negeri pembangkang tindakan dera rakyat

AHMAD Samsuri Mokhtar ditemui wartawan selepas mengiringi Sultan Mizan Zainal Abidin pada Perasmian Menara MBKT di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar melahirkan rasa kesal terhadap perancangan sesetengah pihak untuk menyekat peruntukan kewangan secara terus kepada negeri-negeri yang ditadbir oleh pembangkang.

Beliau menegaskan, pandangan seperti itu adalah satu tindakan yang kebelakang dan seolah-olah mahu mendera rakyat.

Menurutnya, menyekat peruntukan kewangan kepada pembangkang seperti Ahli Parlimen dan kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) adalah tindakan yang tidak wajar kerana ia turut memberi kesan langsung kepada rakyat.

“Dalam apa juga pilihan raya yang berlaku, kalah menang adalah sesuatu yang biasa. Takkanlah sebab kekalahan itu terus rasa kecewa, putus harap macam tak ada harapan langsung dalam kehidupan ini.

“Apa yang penting ialah kita pastikan rakyat dalam negeri atau negara tak terjejas, cadangan (menyekat peruntukan pembangkang) sudah tentulah akan beri kesan kepada rakyat.

“Jadi, mereka nak dera rakyat ke atau dera parti yang menang dalam pilihan raya,” katanya ketika diminta mengulas mengenai cadangan sesetengah pihak agar menyekat peruntukan tersebut, sebaliknya menyalurkannya kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

Terdahulu, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu mengiringi keberangkatan tiba Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke majlis perasmian Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini, hari ini.

Antara yang menjadi isu sebelum ini ialah agihan bantuan banjir yang disalurkan secara terus daripada kerajaan persekutuan kepada mangsa melalui JPP, bukannya kerajaan negeri.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semua kawasan Parlimen mendapat peruntukan sewajarnya dan memberi manfaat kepada penduduk yang ada.

Anwar juga menafikan tuduhan beliau bertindak zalim dengan menganak tiri empat negeri diperintah PN dengan mengurangkan peruntukan, sebaliknya meningkatkan peruntukan berbanding sebelum ini antaranya projek tebatan banjir dan beberapa lagi projek yang diumumkan beliau untuk negeri-negeri terlibat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya