PETALING JAYA: Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi amaran, memanggil dan menyekat beberapa portal berita terus mendapat kecaman tokoh kewartawanan negara dengan menyifatkannya sebagai berselindung di sebalik Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk mewajarkan kewujudannya.
Dalam kenyataan yang ditandatangani 19 tokoh kewartawanan negara dan dua persatuan wartawan, mereka memandang serius tindakan SKMM terhadap isu membabitkan sebuah portal dwi bahasa yang diarahkan menurunkan kandungan berita mengenai kekecohan yang berlaku di Dewan Rakyat pada 19 September lalu.
Kesal dengan tindakan SKMM, mereka berkata, reaksi agensi tersebut hanya memperlihatkan kedangkalan badan itu dalam memahami tugas dan peranan media.
“Kami turut berasa kesal dan kecewa dengan apa yang berlaku di Dewan Rakyat sewaktu penggulungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini. Kami mengutuk sebarang perbuatan mana-mana ahli Parlimen yang bertindak di luar adab dan tata susila selain melanggar peraturan mesyuarat yang menyebabkan berlakunya kekecohan pada hari itu.
“Namun demikian apa yang berlaku di Dewan Rakyat itu telah disiarkan secara langsung untuk tatapan rakyat negara ini dan cebisan daripada peristiwa kekecohan itu boleh didapati dalam semua platform media sosial.
“Maka itu adalah tidak adil untuk menyalahkan mana-mana portal berita yang melaporkannya. Alasan SKMM bahawa beberapa pelaporan telah ‘dijadikan senjata untuk memanipulasi kandungan serta mencetuskan rasa tidak hormat dan naratif yang mengelirukan’ sebenarnya menimbulkan lebih banyak persoalan,” katanya.
Justeru, semua tokoh kewartawanan tersebut mengingatkan SKMM supaya tidak ‘menyekolahkan’ pengamal media berkaitan pelaporan berita tepat serta melihat bahawa tindakan agensi tersebut seakan-akan mencari musuh.
“Bilakah masanya membuat laporan peristiwa yang berlaku menjadi satu kesalahan di negara ini?
“Kami berpendapat SKMM sengaja mencari musuh yang salah bagi mewajarkan tindakannya. Pengamal media rata-rata memahami tanggungjawab mereka serta dipandu oleh profesionalisme dan etika kewartawanan,” katanya.
Tegas mereka lagi, kesulitan SKMM untuk menangani kandungan media sosial tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengekang hak pengamal media menjalan tugas.
“Kami juga memahami bahawa tidak ada kebebasan media yang mutlak di mana-mana di dunia. Tetapi pengamal media harus bekerja dalam suasana yang tidak sempurna itu untuk menjadi mata dan telinga kepada rakyat.
“SKMM harus faham bahawa dalam sistem demokrasi media bebas dan bertanggungjawab adalah prasyarat yang utama,” katanya.
Pada masa sama, SKKM turut diingatkan bahawa Perdana Menteri sudah beberapa kali menekankan isu kepentingan media yang bebas dan bertanggungjawab bahkan berjanji untuk mengambil sikap terbuka terhadap kritikan dan teguran.
“Langkah SKMM kebelakangan ini sama sekali bertentangan dengan semangat YAB Perdana Menteri yang mahu melahirkan suasana media yang kondusif untuk para pengamalnya bekerja tanpa ragu dan takut,” katanya.
Semua yang terlibat dalam menandatangani kenyataan tersebut adalah Tan Sri Johan Jaaffar, Datuk A. Kadir Jasin, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Dr. Datuk Hussamuddin Yaacob, Datuk Dr. Chamil Wariya, Datuk Zakaria A. Wahab, Datuk Zulkefli Hamzah, Datuk Zaini Hassan, Datuk Mior Kamarulbaid Mior Shahid, Ashwad Ismail, Ku Seman Ku Hussein, Dr. G. Manimaran; Zainal Rashid Ahmad, Johardy Ibrahim, Esther Ng Sek Yee, Kuik Cheng Kang, Zamri Rambli, K. Padmanabhan S. Kanayah dan Rashid Yusof.
Dua persatuan yang turut serta mengeluarkan kenyataan berkenaan adalah Centre for Independent Journalism (CIJ) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm). – UTUSAN