PELAKON terkenal, Maya Karin memaklumkan dia kini tidak lagi mengambil ubat demi merawat sejenis gangguan keresahan atau dikenali sebagai anxiety.
Anak kelahiran Bayreuth, Bavaria, Jerman yang diserang anxiety sejak 10 tahun lalu, berkata, dia kini lebih bersedia dan mempunyai ilmu pengetahuan mencukupi untuk mengendalikan serangan tersebut.
Kongsinya, dia menjalani rutin bulanan berbincang dengan pakar terapi secara dalam talian bagi memantau perkembangan kesihatan mentalnya.
“Dulu ada ambil ubat, tetapi sekarang saya ambil keputusan berhenti makan ubat.
“Sekali-sekala saya perlu berbincang dengan pakar terapi. Dia akan tanya bagaimana perasaan saya bulan ini, adakah saya masih stress dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Penjulang dua trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ini berkata, dia kini lebih mengenali personaliti dirinya dan sentiasa bersedia dengan serangan panik yang boleh terjadi pada bila-bila masa.
“Benda itu sentiasa ada dan tidak akan hilang seperti itu sahaja. Ia tetap akan muncul sekali-sekala.
“Saya cuma perlu faham untuk mengendalikan situasi. Kadang-kadang saya sudah boleh rasa benda ini seperti hendak muncul semula. Jadi, saya sudah tahu apa yang perlu dibuat,” katanya.
Disoal situasi yang sering menyebabkan dia mengalami gangguan itu, Maya berkata, kebiasaannya adalah apabila dirinya tidak mempunyai tidur yang mencukupi serta jadual makan yang betul.
“Kadang-kadang terlalu banyak benda berlaku dalam masa serentak.
“Saya perlu risaukan tentang kontrak lakonan, perlu lari ke sana dan ke ini. Berada di kawasan terlalu ramai orang juga boleh menyebabkan gangguan tersebut muncul semula,” kongsinya.
JIWA AKTIVIS
Selain menjalani kehidupan glamor dan aktif dengan aktiviti lasak dan bersukan, Maya juga dilantik sebagai duta serta aktif dalam projek kesukarelawanan melibatkan alam sekitar.
Katanya, jiwanya begitu dekat dengan alam sekitar dan sudah menyertai pelbagai misi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) demi meningkatkan kesedaran kepada orang ramai.
“Selepas Bali, saya ke Kota Kinabalu, Sabah dan diberikan peluang menjadi speaker bersama duta-duta dari negara Eropah seperti Jerman dan Perancis bagi Adex Ocean Partnership Summit.
“Saya mewakili Malaysia dan bercakap tentang inisiatif pemuliharaan marin di hadapan lima juta penonton dari seluruh dunia. Saya sangat seronok melakukan kerja ini kerana ia datang dari hati dan bukan penuh kepura-puraan,” katanya.
Bagi Maya, tidak semua perkara yang dihajati dalam hidup akan tercapai kerana setiap perkara yang dikurniakan mempunyai sebab musabab tersendiri.
“Hidup ini tidak sempurna tetapi Tuhan akan takdirkan anda untuk sesuatu. Mungkin ini adalah misi (aktivis alam sekitar) yang Tuhan kurniakan buat saya,” katanya.