KUCHING: Sarawak tidak layak mempunyai mata wang sendiri.
Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr. Madeline Berma berkata, dari segi ekonomi, Sarawak tidak layak mempunyai mata wang sendiri atas beberapa faktor seperti mata wang negara yang hanya dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (Bank Negara) selain ia merupakan nilai mata wang ‘dominan’ yang diterima untuk pertukaran dalam sesebuah negara.
“Mata wang negara merupakan mata wang keluaran kerajaan yang bertindak sebagai unit pertukaran untuk barangan dan perkhidmatan dan ia hanya boleh dikawal oleh Bank Negara.
“Selain itu, sekiranya Sarawak mempunyai mata wang sendiri, wang tersebut hanya boleh digunakan oleh rakyat Sarawak sahaja sebagai ‘medium pertukaran’ untuk melakukan sebarang transaksi ekonomi di negeri ini,” jelasnya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika diminta menggulas kenyataan Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang memberi bayangan kemungkinan Sarawak memperkenalkan mata wang sendiri memandangkan keadaan ekonomi tidak menentu di Malaysia.
Bagaimanapun, Madeline tidak menafikan impak positif dalam hasrat tersebut yang mana bukan sahaja untuk memudahkan transaksi kewangan di Sarawak, tetapi untuk menjamin kestabilan ekonomi dan kewangan negeri.
“Mata wang tempatan mesti menyumbang kepada membina rangka kerja institusi untuk menangani ketidaktentuan kewangan.
“Selain itu, ia perlu dimanfaatkan dalam memastikan kejayaan mata wang baharu ini dan Sarawak perlu mempunyai dasar fiskal dan monetari yang kukuh.
“Sarawak juga mesti menangani isu termasuk pilihan rejim kadar pertukaran dan kebolehtukaran untuk mata wang, perundangan kewangan untuk pengenalan, kemajuan ke arah membangunkan bank pusat sepenuhnya, penukaran mata wang, pilihan rantau kadar pertukaran, termasuk perubahan yang diperlukan untuk mempersiapkan peralihan yang teratur kepada mata wang Sarawak baharu,” tegasnya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF), Dato Johnathan Chai Voon Tok berkata, pengenalan mata wang Sarawak sendiri akan berfungsi sebagai langkah perlindungan dan mengurangkan kemungkinan dan kesan negatif yang timbul dari bahagian lain di negara ini.
Bagaimanapun, jelasnya, ia memerlukan kajian mendalam sebelum perkara itu dicadangkan kepada Kerajaan Persekutuan.
“Melihat kepada apa yang berlaku dalam negara, sudah tentu berbaloi untuk melihat isu atau cadangan itu dengan fikiran terbuka.
“Sememangnya, Sarawak mungkin perlu mempertimbangkan untuk memiliki mata wang sendiri jika ekonomi Semenanjung dan kadar pertukaran bagi Ringgit terus merosot berikutan masalah dalaman dan ‘politiking’ mengenai perkara remeh,” ujarnya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tegasnya, usaha ini juga berpotensi menjadikan mata wang yang lebih stabil selain harga barangan terutamanya barangan import dan kos serta taraf hidup dapat dikawal dengan lebih berkesan.
“Walaupun kita sebahagian besar daripada Malaysia, tidak salah untuk mempunyai negara dengan dua sistem atau dua mata wang setelah mempertimbangkan status perlembagaan dan sejarah kita yang unik di negara ini.
“Kita boleh mencontohi Hong Kong dan Macau atau Scotland dengan bank perdagangan mengeluarkan nota mereka sendiri dengan reka bentuk mereka sendiri,” tambahnya lagi.
Dari segi sejarah, beliau menjelaskan, pada awal abad kelapan belas atau sembilan belas, negeri ini dahulunya mempunyai catatan mata wang tersendiri dan tidak ada sebarang masalah yang dihadapi.
“Sudah tentu ada aspek perundangan dan teknikal yang perlu kita kaji sebelum memulakan langkah berani dan besar dalam era moden ini.
“Ia akan melibatkan pindaan kepada undang-undang semasa kerana Bank Negara kini merupakan satu-satunya institusi yang diberi kuasa oleh Akta Bank Negara Malaysia sebagai pihak berkuasa tunggal untuk mengeluarkan mata wang di Malaysia,” katanya.
Kedua, beliau berkata, akan ada isu edaran dan pertukaran mata wang yang dicadangkan.
“Ketiga, meletakkan rangka kerja perundangan yang komprehensif dan penubuhan pihak berkuasa kewangan untuk mengawal selia dan mengawasi operasi sistem monetari untuk memastikan kestabilan mata wang,” katanya.
Disebabkan kerumitan perkara itu, beliau tidak menafikan akan mengambil sedikit masa untuk menyelesaikan pendahuluan sebelum pelaksanaannya jika sebarang konsensus atau persetujuan boleh dicapai antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sarawak. -UTUSAN