Sampah, anjing liar cemari Pantai Bisikan Bayu - Utusan Malaysia

Sampah, anjing liar cemari Pantai Bisikan Bayu

ANJING liar dilihat berkumpul di atas pondok yang sebelum ini adalah tempat berkelah di Pantai Bisikan Bayu Semerak, Pasir Puteh, Kelantan. - UTUSAN/TOREKSULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Isu sampah, sikap pengunjung yang tidak bertanggungjawab serta anjing liar merencatkan keindahan Pantai Bisikan Bayu Semerak, di sini sebagai pusat pe­ranginan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengunjung pantai berkenaan, Hamidah Ismail, 40, berkata banyak tong sampah disediakan namun sebahagian pengunjung masih ‘berat tulang’ membuang pembungkus makanan dan minuman pada tempat yang sepatutnya.

Katanya, kumpulan anjing liar berkeliaran di tepi pantai itu perlu diambil tindakan segera yang mungkin membahayakan pengunjung selain mencacatkan pemandangan.

“Saya pernah datang pada waktu malam ternampak anjing liar mencari sisa makanan yang dibuang pengunjung termasuk menyelongkar tong sampah,” katanya ketika ditemui di Pantai Bisikan Bayu Semerak, di sini semalam.

Tambahnya, pada masa yang sama anjing liar berkumpul di pondok rehat di sepanjang pantai itu pada waktu malam di samping kawasan semak dan rumput yang tidak diselenggara.

Pengusaha yang enggan namanya disiarkan berkata, tandas dan surau akan dikunci sebagai langkah mengekalkan kebersihan apabila terdapat segelintir pengguna yang tidak bertanggungjawab.

“Kita beroperasi pada pukul 11 pagi dengan mengenakan bayaran sebanyak RM1 untuk mandi dan membuang air besar atau kecil dengan bekalan air bersih yang mencukupi.

“Saya baru seminggu menguruskan tandas awam ini selepas berjaya mendapat tender sewaan. Sebelum ini ia tidak diselenggara dan tidak berkunci,” katanya.

Sebelum ini katanya, sikap pengguna membuang air besar tanpa menyimbah selain membuang lampin pakai buang dan lampin wanita ke dalam mangkuk tandas amat dikesali.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Norsham Sulaiman ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah meninjau lokasi pantai itu untuk tindakan segera dalam usaha membangunkan agro pelancongan setempat.

“Saya pohon pengunjung mengambil serius tentang tabiat membuang sampah dan tidak membakar di kawasan yang tidak sepatutnya.

“Kami akan merancang dan menyusun pelan tindakan susulan menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) agar pantai ini kekal bersih, indah dan menjadi aset bagi agro pelancongan untuk manfaat bersama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN