KUALA LUMPUR : Pelakon sensasi, Puteri Sarah Liyana nekad meneruskan saman terhadap bekas kakak ipar Ira Kazar yang dikenali sebagai Wiwi Darvinda Mazwena Mazlan.
Sarah berkata, dia telah pun berbincang dengan bekas suaminya iaitu Syamsul Yusof mengenai perkara tersebut dan akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang.
Ini kerana, kata Sarah, dia sudah berasa penat untuk berdepan dengan gangguan seperti itu.
“Wanita berkenaan rupa-rupanya masih lagi bercakap tentang saya di media sosial pada hari saya baru habis tempoh edah. Bila saya mendapati ia masih berlaku, saya sendiri tertanya-tanya, mengapa perkara ini seakan tak habis-habis lagi. Saya tak kacau awak, awak pun janganlah kacau saya.
“Apa yang dia tulis bukan sahaja melibatkan saya tetapi turut membabitkan anak-anak termasuk Syamsul. Bila dapat semua bukti itu, saya terus hubungi Syamsul untuk minta pandangan.
“Bagi saya, kalau tak buat sesuatu, perkara ini akan berpanjangan dan akan menjejaskan imej saya. Syamsul juga menyerahkan kepada saya untuk buat keputusan. Dia kata dia akan okey saja dengan keputusan saya,”katanya.
Sarah berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Teater Muzikal Kanak-Kanak Pak Pandir dan Labu Ajaib, di sini, hari ini.
Selain itu, Sarah berkata, dia juga telah menghubungi bekas bapa dan ibu mentuanya untuk menjelaskan perkara ini dan kedua-duanya sudah memberikan keizinan untuk sebarang keputusan yang dibuat oleh Sarah.
“Bekas mentua pun kasihan dengan saya dan mahu saya menjalani kehidupan dengan tenang. Mungkin ada yang kata saya ni tak habis-habis dengan isu ini, tetapi saya berharap biarlah ini yang terakhir. Saya juga sudah penat,”katanya.
Sementara itu, ditanya sama ada dia akan menarik semula saman sebagaimana yang pernah dilakukan terhadap Ira Kazar sebelum ini, kata Sarah, kali ini dia nekad dengan pendiriannya.
“Kali ini saya memang buat betul-betul dan tak akan tarik semula. Saya tarik saman terdahulu kerana saya dan Syamsul mencapai kata persetujuan supaya kami boleh hidup dengan tenang dan jalani kehidupan masing-masing.
“Tetapi bila semuanya telah selesai, timbul pula isu ini,” katanya.
Malah, katanya, selepas meluahkan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang, wanita berkenaan ada menghubunginya untuk berjumpa, tetapi Sarah enggan bertemu.
“Saya tak balas pun mesej dia. Biarlah pihak peguam saya yang uruskan. Jika kami terus bercakap secara peribadi, takut timbul hal lain pula”, katanya.
Beralih ke soal kerjaya, Sarah bakal muncul dengan teater muzikal kanak-kanak berjudul Pan Pandir Dan Labu Ajaib.
“Dalam teater ini, saya bawa watak antagonis bernama Ratu Sukma yang merupakan seorang nenek kebayan.
“Saya baru sahaja habis drama Hijrah Jannah dimana saya turut membawakan watak antagonis. Jadi agak mudah untuk saya kekalkan momentum watak antagonis dalam teater ini,” kongsinya.
Teater yang bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 13 hingga 15 Oktober ini turut dijayakan oleh Janna Nick, Bell Ngasri, Noreen Iman, Aya Amiruddin, Naque Ariffin dan ramai lagi.