'Sabtu menang, Isnin saya pergi pejabat daerah' - Calon Bebas Pelangai

‘Sabtu menang, Isnin saya pergi pejabat daerah’ – Calon Bebas Pelangai

HASLIHELMY DM Zulhasli (kiri) beramah mesra dengan penduduk ketika melakukan program ziarah di Felda Chemomoi, Pelangai di Bentong, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Haslihelmy DM Zulhasli berjanji mahu menyelesaikan isu tertunggak termasuk permohonan tanah penduduk sekiranya diberikan mandat sebagai wakil rakyat.

Haslihelmy berkata, beliau akan pergi ke pejabat daerah pada hari ketiga selepas menang pilihan raya untuk menyelesaikan isu permohonan tanah para penduduk itu yang masih belum diselesaikan sehingga kini.

Katanya, masalah yang berlarutan sejak sekian lama telah menyebabkan para penduduk gelisah dan tertunggu-tunggu terhadap status permohonan yang dikemukakan mereka selama ini.

“Jika saya menang Sabtu, Isnin saya pergi ke pejabat daerah sebab saya sudah tengok fail-fail orang sini yang telah mohon tanah lebih 20 tahun, tetapi masih tidak lulus walaupun empat hektar.

“Masalah ini berlaku sejak zaman Tan Sri Adnan Yaakob lagi. Sabtu menang, Ahad jumpa orang kampung, Isnin saya pergi ke pejabat daerah,” katanya ditemui selepas program ziarah penduduk di Felda Chemomoi di sini semalam.

Haslihelmy yang juga Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) merupakan antara tiga calon yang bertanding dalam PRK DUN Pelangai.

Kerusi N36 Pelangai diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

PRK DUN Pelangai kali ini dijangka menyaksikan saingan sengit antara dua calon daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang masing-masing turun dengan misi wajib menang.

Dalam pada itu, Haslihelmy mendakwa, memperoleh 85 peratus sokongan pengundi Pelangai termasuk dalam ahli-ahli UMNO dan generasi anak muda.

Beliau yang pernah menjadi ahli UMNO sebelum dipecat kerana bertanding Bebas berkata, masih belum membuat keputusan sama ada menyokong kerajaan atau berada di blok pembangkang jika terpilih sebagai ADUN Pelangai.

Selain itu, Haslihelmy menafikan menumpang populariti keluarga yang amat dikenali dalam kalangan penduduk Pelangai, sebaliknya beliau sudah lama bergiat aktif dalam kerja-kerja masyarakat melalui pembabitan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×