RUU Perkhidmatan Parlimen terima reaksi positif 

RUU Perkhidmatan Parlimen terima reaksi positif 

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara memaklumkan, dasar dan kerangka cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2023 yang kini dalam peringkat penggubalan mendapat reaksi positif dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Tan Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ahli kedua-dua dewan berkenaan menyambut baik langkah pengenalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 untuk merealisasikan konsep pengasingan kuasa dalam negara.

“Seterusnya, RUU ini dapat melaksanakan kehendak Perlembagaan Persekutuan. Secara jelas ia memartabatkan institusi Parlimen Malaysia yang bebas daripada bendungan cabang eksekutif kerajaan.

“Insya-Allah, kami berharap RUU ini dapat dibentang pada sidang Dewan Rakyat bulan depan dan sesi taklimat pada malam tadi (kelmarin) memberi peluang kepada Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat mendapatkan maklumat awal supaya memberi kerjasama mereka dalam urusan pembentangan, laluan dan bahasan RUU ini nanti dalam Dewan masing-masing,” katanya selepas satu taklimat mengenainya diadakan semalam.

Pada 29 Ogos lalu, Wan Junaidi berkata, pelaksanaan pengenalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 kini berada pada peringkat kedua bagi proses merangka kertas kerja Kabinet. 

Jelasnya, ia bagi mendapatkan persetujuan bagi Majlis Bersama Dewan Negara dan Dewan Rakyat oleh Pejabat Peguam Negara untuk diedar kepada semua kementerian dan agensi berkaitan sebelum dibentang kepada Jemaah Menteri.

Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 diperkenal bagi membuka jalan kepada Dewan Rakyat bertindak sebagai badan bebas, menjalankan hal ehwalnya sendiri, memilih kakitangannya dan mengawal perbelanjaannya, namun ia dimansuh pada 1992.-UTUSAN

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN