Rohingya: Hak kemanusiaan atau kedaulatan?

Rohingya: Hak kemanusiaan atau kedaulatan?

SEORANG etnik Rohingya mengutip besi buruk dan barangan lusuh di Selayang, Selangor sebagai sumber pendapatan. - MINGGUAN/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu pelarian etnik Rohingya yang dianggarkan berjumlah lebih 100,000 orang sering menjadi tumpuan rakyat di negara ini berbanding pelarian dan pemohon suaka dari negara lain.

Segelintir masyarakat beranggapan kehadiran mereka sebagai kurang menyenangkan dan menyifatkannya sebagai ancaman terutama kepada aspek sosial.

Malah, pelarian Rohingya berdepan sentimen negatif disebabkan segelintir mereka yang melanggar undang-undang dan budaya masyarakat di negara ini antaranya pengotor dan gemar meludah di merata-merata tempat.

Bagaimanapun bagi pelarian Rohingya, Karim Hussin, 45, kehadirannya di Malaysia hanyalah mahu mencari kehidupan yang lebih baik dan tidak mahu ditindas sepertimana di tempat kelahirannya, Myanmar.

Berkongsi kepayahan hidupnya kepada Mingguan Malaysia, dia kini bekerja sebagai mengumpul barang lusuh berikutan tiada pekerjaan sah atau rasmi yang boleh dilakukan sejak hari pertama memasuki ke negara ini dan lari daripada kekejaman tentera Myanmar.

Karim berkata, dia perlu bekerja keras demi menyara keluarga termasuk anaknya yang berusia tujuh tahun.

“Pendapatan saya tidak menentu. Kadangkala mencecah RM100 sehari bergantung kepada rezeki sebagai pengumpul barangan lusuh. Bagaimanapun ia bukanlah setiap hari.

“Saya ada juga melakukan kerja lain seperti menebang pokok, menebas atau apa sahaja kerja yang boleh saya buat. Memanglah pendapatan sekadar cukup makan tetapi paling penting adalah mencari rezeki,” katanya dengan berbahasa Melayu yang agak sukar difahami, baru-baru ini.

Tambah Karim, dia sedikit pun tidak mempunyai niat untuk ‘merampas’ peluang rakyat tempatan dalam apa jua pekerjaan atau perniagaan dengan status sebagai pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Apa yang kami mahu hanyalah untuk mencari sesuap nasi sahaja sementara menunggu peluang lain untuk berhijrah ke negara seperti Amerika Syarikat (AS), Australia, Kanada atau New Zealand,” ujarnya.

Sebagai rekod, pelarian seperti Karim tidak dibenarkan bekerja secara rasmi di negara ini disebabkan Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 dan tidak mengiktiraf status pelarian.

Malah pelarian seperti Karim turut dianggap sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) disebabkan tidak mempunyai dokumen.

Namun, undang-undang Malaysia mempunyai dasar untuk tidak menghantar pulang pemegang kad UNHCR sebelum dihantar ke negara ketiga yang menerima mereka.

Berdasarkan arahan Majlis Keselamatan Negara No.23, pemegang kad UNHCR dibenarkan untuk menerima gaji secara harian dalam bidang pekerjaan bergaji rendah.

EKSPLOITASI PEKERJAAN

Dalam pada itu, bagi pelarian Rohingya yang hanya mahu dikenali sebagai Kalam, 37, dia bekerja sebagai pengumpul barangan lusuh selepas dibayar gaji dengan kadar upah yang tidak sepatutnya.

“Ada satu ketika saya mengikut seorang individu dengan membantunya dalam kerja pemasangan pagar dan kerja kimpalan. Gaji yang dibayar cuma RM30 sahaja daripada pagi sehingga ke lewat petang.

“Sedangkan saya ada dua anak untuk disara. Jadi saya nekad berhenti dan kumpul barang lusuh dengan masa dan gaji yang lebih banyak bergantung kepada usaha saya,” ujarnya.

Dia juga berkata, ramai rakan-rakannya yang tersepit dengan situasi sebagai pelarian sebelum ini, nekad untuk berniaga secara kecil-kecilan di kaki jalan Pasar Borong Selayang.

“Tidak banyak yang kami boleh lakukan dengan status sebagai pelarian. Dengan menjadi penjaja antara jalan mudah untuk mencari wang dan apa yang penting kami tidak melakukan jenayah,” jelasnya.

Ketika ditanya sama ada pernah ditangkap atau tidak semasa bekerja dalam sektor kimpalan, dia tidak pernah berhadapan dengan pengalaman sedemikian.

“Risiko sangat tinggi.Tapi setakat ini saya tidak pernah ditangkap kerana tidak bekerja secara sah. Bagi kami, kehidupan di sini lebih baik daripada berada di Myanmar,” katanya.

LAYANAN ISTIMEWA, PANDANGAN MASYARAKAT

Sementara itu bagi bekas Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Albar, Malaysia seringkali bertindak proaktif dalam mengangkat isu kemanusiaan membabitkan pelarian terutama etnik Rohingya.

“Kita sentiasa berpegang kepada prinsip hak asasi manusia dan tidak mahu timbul apa-apa soal diskriminasi terhadap mana-mana etnik atau pun bangsa sebab itu kita perlu teruskan perjuangan menentang kezaliman.

“Bagaimanapun, dalam masa yang sama kadangkala timbul kecaman, kekangan atau bantahan daripada masyarakat umum terhadap pelarian etnik Rohingya, lebih -lebih lagi dalam situasi masa kini dengan ledakan media sosial dan keadaan ekonomi yang masih dalam pemulihan akibat pandemik Covid-19,” katanya.

SYED HAMID ALBAR 

Syed Hamid dalam masa yang sama berharap selain bantuan golongan tersebut, kelonggaran wajar diberikan kerajaan untuk mereka bekerja secara sah sama ada mengikut ketetapan syarat yang sama dengan pekerja asing atau terdapat sedikit perubahan lain.

“Apabila ada keizinan untuk mereka bekerja, sektor pekerjaan yang tidak dipenuhi boleh diisi oleh golongan ini. Sebagai contoh mereka boleh sahaja ditempatkan di sektor pembersihan atau kumbahan.

Katanya, langkah membenarkan pelarian etnik Rohingya bekerja juga dapat mengurangkan bebanan Malaysia dan dalam masa yang sama membuka peluang baharu terutama membabitkan isu pekerjaan serta ekonomi disamping pembangunan negara.

MENENTANG DEMI KEDAULATAN

Bagaimanapun, di sebalik penerimaan Kerajaan Malaysia terhadap pelarian Rohingya, terdapat pihak yang menentang dan mahukan agar layanan istimewa terhadap etnik ini ditarik semula.

Menurut peguam, Norman Hernandez, etnik terbabit hanya dilihat sebagai bebanan kepada negara.

“Kalau dibandingkan dengan rakyat kita, semua ada rekod identiti dan cop jari. Tetapi pelarian Rohingya ini hanya mendapat kad UNHCR, kemudian bebas untuk berniaga sesuka hati atau membawa motosikal ke mana sahaja.

“Kita bimbang sekiranya terjadi apa-apa seperti kemalangan, nanti mangsa hanya akan ‘mati katak’ tidak boleh buat tuntutan. Mereka cukup kebal untuk lakukan apa sahaja walaupun hanya sekadar status UNHCR. Itu kita tidak mahu,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia dalam masa yang sama perlu sedar bahawa Myanmar tidak akan membenarkan sama sekali pelarian Rohingya dihantar semula ke negara tersebut.

Malah katanya, 57 negara Islam dalam masa yang sama tidak sama sekali menerima pelarian Rohingya.

“Tapi sekarang, negara Islam ini mempertanggungjawabkan Malaysia untuk memikul beban tersebut dan menjadi tanggungan kita. Sepatutnya pelarian Rohingya ini perlu ditempatkan di kem pelarian supaya tidak boleh bebas dan mengganggu ketenteraman awam,” katanya.

Sementara itu, bagi Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Mohd. Sophian Mohd Zain, kehadiran mereka yang datang bekerja dan membuka perniagaan di Malaysia tidak sepatutnya berlaku.

Menurutnya, ia jelas melanggar undang-undang dan boleh menyebabkan berlakunya monopoli dalam perniagaan dan mengawal pasar-pasar basah dan borong.

“Mereka juga berani dan bebas membawa kenderaan di Malaysia tanpa ada sebarang tindakan tegas dari penguat kuasa. Keadaan ini menampakkan pelarian Rohingya ini semakin selesa berada di bawah perlindungan Malaysia sebagai pelarian.

“Apabila mereka bekerja, bermakna dia telah mengambil peluang-peluang pekerjaan rakyat Malaysia dan warga asing yang masuk ke Malaysia untuk bekerja,” katanya.

PERLU DIDIKAN, BUKAN KECAMAN

Walaupun pelarian Rohingya diberi ‘kebebasan’ dan mendapat layanan istimewa, masih ada perasaan xenophobia, benci dan kecaman terhadap etnik ini dan perlu dihentikan menerusi perasaan kasih sayang di atas nama persaudaraan sesama umat Islam.

PENDIDIKAN boleh membantu etnik Rohingya memahami prinsip dan etika kewarganegaraan rakyat Malaysia.

Justeru Ketua Komuniti, Pertubuhan Amal dan Kemanusiaan Negeri Selangor, Rafik Shah Mohd. Ismail berkata, pelarian etnik Rohingya perlu diberi didikan mengikut adat dan budaya masyarakat di sini terutama bagi segelintir yang biadab, pengotor dan ‘naik tocang’.

Katanya, tindakan tegas juga perlu diambil tanpa sebarang kompromi sekiranya ada pelarian yang cuba mencabar undang-undang negara dengan harapan ia turut menjadi sebahagian daripada didikan.

“Kebanyakan daripada warga Rohingya yang mencoreng arang dan membuat kacau-bilau adalah sebahagian daripada mereka yang tidak menerima pendidikan sewajarnya. Kita perlu ingat yang masuk ini terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ada yang degil, ada yang jahat dan tidak lupa juga ada yang baik. Tapi janganlah pandangan negatif orang Rohingya.

“Bagi saya hanya pendidikan yang boleh membantu mereka untuk memahami prinsip dan etika kewarganegaraan rakyat Malaysia,” ujarnya.
Rafik Shah dalam masa yang sama berkata, dia yakin, kanak-kanak Rohingya juga boleh membantu dalam aspek sosial dan pembangunan negara sekiranya diberikan peluang.

“Pelarian Rohingya bukannya mahu merampas atau memonopoli sektor negara kita. Mereka mahu datang cari perlindungan dan kemudian pergi ke negara ketiga. Sementara menunggu itu apa yang mereka boleh buat? Nak bekerja, dan belajar untuk kanak-kanak bagaimana?“Lagipun permohonan untuk ke negara ketiga memang mengambil masa yang lama. Sementara untuk ke negara ketiga itu, kalau diberikan pendidikan secukupnya, kanak-kanak ini boleh membantu ibu-bapa mereka atau saudara mereka tentang etika, prinsip, Bahasa Melayu dan undang-undang negara ini.

“Malah, mungkin mereka lebih baik lagi dalam semua aspek berbanding segelintir mereka yang dilahirkan, dibesarkan dan menjadi warganegara Malaysia sendiri,” jelasnya yang kini menjadi sebahagian sukarelawan di Pusat Pembelajaran Pelangi Kasih di Selayang.

Rafik Shah yang juga pemimpin komuniti pelarian Rohingya di Selayang berkata, pendidikan amat penting bagi membantu mereka hidup dan berasimilasi dengan penduduk di Malaysia.

HARAPAN

Digelar anak pelarian bukan halangan untuk mengejar cita-cita dan berjaya sebagaimana anak warganegara Malaysia.

Bagi Sadan Anas, 14, dia memasang impian menjadi seorang pemain bola profesional suatu hari nanti.

Katanya, impian tersebut tertanam dalam dirinya sebaik diberi peluang melanjutkan pengajian di Pusat Pembelajaran Pelangi Kasih.

“Apabila diberi pendidikan saya mula dapat melihat cahaya masa depan untuk menjadi insan cemerlang.

“Lagipun saya memang minat bermain bola sepak daripada dahulu, apabila sudah ada peluang datang ke Malaysia, merasai hidup di negara yang selamat, saya rasa lebih bersemangat untuk mengejar cita-cita saya,” katanya.

KANAK-KANAK di Pusat Pembelajaran Pelangi Kasih di Selayang, Selangor mahu mengejar cita-cita mereka dan berjaya sebagaimana anak warganegara Malaysia.

Turut berkongsi harapan yang sama ialah Halimah Yusof, 14, yang mahu menjadi seorang anggota tentera berkhidmat kepada negara.

“Selepas apa yang terjadi kepada negara saya, saya memang bertekad menjadi seorang askar yang mampu melindungi negara dan orang-orang yang tertindas,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN