MELAKA: Kebanyakan peniaga restoran di Plaza Mahkota, Banda Hilir dekat sini masih mengekalkan harga lama nasi putih RM2 hingga RM2.50 sepinggan
di sebalik kenaikan harga beras import.
Mereka menyifatkan kenaikan harga beras import antara RM4 hingga RM5 untuk 10 kilogram (kg) tidak membebankan sehingga terpaksa menaikkan harga nasi putih sepinggan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kebanyakan restoran di kawasan tumpuan pelancong ini masih mengekalkan harga nasi putih antara RM2 hingga RM2.50
sepinggan.
Pengusaha restoran 35, Norhayati Baharom, 48, berkata, tiada sebarang kenaikan harga nasi putih setakat ini walaupun harga beras import yang naik dari RM32 kepada RM36.60 untuk 10kg.
“Setakat ini saya tidak bercadang nak naikkan harga nasi putih, biarlah kekal dengan harga RM2 sepinggan. Walaupun harga beras import yang dibeli naik RM4 tetapi kenaikan harga itu tidak membebankan hingga memaksa saya terpaksa naikkan harga nasi putih.
“Jika beras import mengalami kenaikan hingga mencecah RM8 untuk 10kg ada kemungkinan saya cadang nak naikkan nasi putih kepada RM2.50 sepinggan,” katanya di sini semalam.
Bagi pemilik Restoran Asam Pedas Hajjah Ruhana, Hashim Mohd., 69, pula, nasi putih di premisnya kekal dengan harga yang sama iaitu RM2 sepinggan.
“Memang benar beras import yang saya gunakan naik dari RM31 kepada RM36 tetapi ini tidak menyebabkan perlunya harga nasi putih dinaikkan.
“Saya rasa setakat ini harga RM2 adalah memadai dan saya harap beras import tidak mengalami kenaikan lagi selepas ini,” ujarnya.
Namun katanya, jika beras import terus meningkat naik dan tidak dapat dikawal ada kemungkinan restorannya akan menaikkan nasi putih sebanyak 50 sen.
Dalam pada itu, pengusaha Restoran Asam Pedas TJ, Abdul Jalil Achin, 64, berkata, dia tidak bercadang menaikkan harga nasi putih yang kekal pada harga RM2 hingga RM2.50 sepinggan. – UTUSAN











