Rakyat Kelantan makan nasi beras tempatan

Gara-gara harga beras seludup naik, rakyat Kelantan makan nasi beras tempatan

BERAS keluaran tempatan semakin mendapat tempat susulan kenaikan harga beras Siam di Kelantan ketika ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kenaikan mendadak harga beras seludup dari Thailand mempengaruhi selera rakyat di negeri ini yang beralih kepada beras keluaran tempatan sebagai pilihan.

Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Kelantan dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia berkata, ia susulan harga beras tempatan dan beras import yang sah daripada Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dijual lebih murah berbanding seludup.

Katanya, setiap bulan Kelantan memerlukan kira-kira 12,000 tan metrik beras bagi menampung kira-kira 1.792 juta rakyat negeri ini.

“Daripada jumlah tersebut, 40 peratus penggunaan adalah beras Siam seludup pelbagai jenis yang diseludup masuk ke negara ini.

“Selebihnya adalah menggunakan beras tempatan dan beras import sah daripada Bernas,” katanya semalam.

Menurutnya, berdasarkan rekod, pihaknya mengakui kewujudan aktiviti penyeludupan beras sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini berpandukan kepada tangkapan yang dibuat oleh agensi penguat kuasa.

Katanya, selain itu kegiatan tersebut adalah salah satu pekerjaan tradisi di kawasan sempadan.

“Bagaimanapun pihak kami menafikan sepenuhnya yang 90 peratus rakyat Kelantan
menggunakan beras Siam seludup sebagai punca utama bekalan beras di negeri ini. Berdasarkan rekod semasa, aliran keluar masuk stok di peringkat kilang, pemborong dan peruncit didapati lebih kurang 7,250 tan metrik beras dijual sebulan di negeri ini.

“Keperluan beras negeri ini adalah sebanyak 12,000 tan metrik sebulan (berdasarkan kepada penggunaan 80 kilogram penggunaan beras setahun oleh seorang penduduk yang didarabkan dengan jumlah penduduk) dan selebihnya adalah pasaran beras tidak sah,” katanya.

Kawal Selia Padi dan Beras berkata, selebihnya bekalan beras diagihkan oleh pihak kerajaan menerusi program kebajikan, jualan Rahmah dan Agro Madani.

Katanya, selain itu Kelantan adalah salah satu negeri pengeluar padi utama negara dengan purata pengeluaran padi setahun adalah 159,749 tan metrik iaitu purata hasil padi untuk 2021 dan 2022.

“Daripada hasil kisaran padi inimenghasilkan 92,654 tan metrik beras dan sekiranya 90 peratus rakyat Kelantan menggunakan beras seludup, maka pasti beras ini menjadi lambakan beras serta sukar untuk dijual di pasaran.

“Berkaitan dengan anggaran kerugian yang ditanggung kerajaan, buat masa ini tiada data yang lebih tepat dan sahih,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kawal Selia Padi dan Beras Kelantan memaklumkan, sepanjang tiga tahun bermula 2020 hingga September tahun ini, sebanyak 608,082 kilogram beras seludup dari Thailand dirampas.

Katanya, rampasan itu dilakukan menerusi kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ibu pejabat polis daerah (IPD), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Penguatkuasa Kawalselia Padi dan Beras.

Utusan Malaysia pada 20 September lalu melaporkan, kira-kira 90 peratus atau 1.26 juta penduduk Kelantan makan beras yang dise­ludup dari Thailand kerana rasa makanan ruji itu didakwa lebih sedap selain aromanya wangi berbanding beras tempatan.

Seminggu dianggarkan lebih 50,000 tan metrik beras Siam dibawa masuk ke negeri ini dan beras pelbagai jenama seperti Arnab, Angsa Emas, Mangga, Basikal dan Serindit mendapat permintaan tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×