Rais gesa kes DNAA Ahmad Zahid diteruskan

Rais gesa kes DNAA Ahmad Zahid diteruskan

RAIS YATIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim menggesa kes Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan, diteruskan. 

Menurut Rais, Jabatan Peguam Negara digesa membuat penilaian objektif tentang tuntutan kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan dalam persepsi kes kontroversi itu  yang tiba-tiba dilepaskan tanpa penerusan pembicaraan. 

Beliau menggesa kes itu diteruskan di bawah pengertian dan semangat Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah dan seksyen 84 Akta Kehakiman. 

“Perlakuan ini menimbulkan suasana syak wasangka keluhuran undang-undang dalam kalangan orang ramai dan interaksi luar negara pada skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini.” katanya dalam kenyataan. 

Kenyataan itu dikeluarkan selepas beliau menyampaikan ucaptama perasmian Sambutan Hari Malaysia anjuran Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) di Georgetown, Pulau Pinang, semalam.

Dalam perkembangan lain, Rais menyarankan Rukun Negara dijadikan sebagai mukadimah Perlembagaan Malaysia memandangkan Malaysia masih ketiadaan asas perundangan yang berpaksikan kenegaraan tinggi. 

Beliau berkata, ini kerana teras panduan yang berusia 53 tahun itu mesti beroleh kedudukan tinggi dalam Perlembagaan Perlembagaan tanah air. 

“Rukun Negara selama ini hanya bersifat sebagai penyeri majlis-majlis rasmi tahunan selain penghias buku kulit buku teks dan mural sekolah. 

“Rukun Negara tidak diamalkan dalam bentuk program-program asuhan dan latihan bagi ahli-ahli politik, guru, tenaga pengajar institusi pengajian tinggi dan sektor swasta yang tampak bebas dari pemangkinan nilai hidup,” katanya. 

Sementara itu, Rais turut menzahirkan kebimbangan terhadap perpecahan tenaga dan semangat nasional dalam kalangan orang Melayu hari ini. 

Beliau membandingkan bagaimana masyarakat Cina yang tampak sekutu di bawah DAP yang beroleh 40 kerusi Dewan Rakyat dan 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus mengalahkan pencapaian parti-parti Melayu.

“Amat ketara, perjuangan bangsa Melayu hari ini lebih mementingkan siapa jadi perdana Menteri daripada pentingnya semua parti politik Melayu bersatu mengukuhkan ukhuwah dan tenaga sekutu,” katanya. 

Berhubung jawatan Peguam Negara (AG) di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, Rais berpandangan, pindaan perlu dilakukan supaya fungsi serta kuasa penasihat yang ada pada AG itu diasingkan daripada fungsi dan kuasa Pendakwa Raya. 

“Situasi 1948 ini perlu disingkirkan segera demi memberi imej keluhuran undang-undang atau rule of law yang tulen dan jitu kepada pentadbiran undang-undang dan keadilan Malaysia.” katanya. 

Pada masa sama, Rais menyangkal dakwaan beberapa pihak kononnya rakyat tidak lagi boleh berbahas tentang Raja, Bangsa dan Agama atau 3R. 

“Asalkan jangan menghasut atau melanggar Akta Hasutan, 3R itu harus terus diperkata kerana tiga tali sepilin itu adalah intisari perjuangan rakyat, khasnya orang Melayu selama ini,” katanya. 

Kebebasan dan hak di bawah, Perkara 10, menurut beliau, cukup tinggi walaupun Akta Hasutan ada memperuntukkan batasannya. 

Ujarnya, selagi akta itu tidak dipinda oleh Parlimen, selama itulah 3R itu boleh dibahaskan, lagipun cadangan larangan 3R itu bukan diutarakan oleh pemimpin diRaja. 

Dalam pada itu, Rais menyifatkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan perlu dicerakinkan keberkesanannya supaya keistimewaan yang kononnya dikhususkan bagi orang Melayu dan Bumiputera Sabah Sarawak serta komuniti lain mempunyai hak legitimasi yang tidak kurang substantifnya. 

Beliau turut mempersoalkan adakah sebenarnya kuasa Yang Di Pertuan Agong digunakan pada masa-masa lampau dikuatkuasakan di bawah Perkara itu kerana menurutnya, tiada. 

Justeru, beliau mencadangkan supaya semua negeri membuat cerakin dan menentukan jumlah bantuan istimewa, permit, latihan khas atau pemberian khusus yang diperbuat di bawah kuatkuasa Perkara 153. 

“Terpenting, Tuanku Agong mesti dinasihatkan supaya Baginda diberi taklimat khas tentang peranannya di bawah 153. Ini teramat mustahak lantaran peruntukan perlembagaan itu khusus bagi Baginda. Bahasanya juga paling imperatif.

“Sebenarnya Keistimewaan Melayu dan Bumiputera di bawah Perkara 153 ini indah khabar dari rupa. Kesemua Perancangan Malaysia Pertama hingga kini tidak ada pun menyebut tentang penggunaan Perkara 153. Masyarakat atau lain-lain komuniti yang juga disebut di bawah Perkara 153 itu tuntas lebih maju tanpa tongkat atau bahtera ‘keistimewaan’.

“Sejujurnya, Perkara  153 tak pernah secara rasmi dijadikan asas nyata membantu masyarakat Melayu dan Bumiputera. Ia sedap didengar tetapi tidak Nampak dipakai. Perdana Menteri dengan menggunakan Perkara 40 wajib menasihatkan Yang di-Pertuan Agong mengenai peranan Baginda di bawah peruntukan ini,” katanya. 

Rais juga menegaskan Suruhanjaya Reid yang memberi cadangan asal Per 153 pernah mencadangkan supaya laporan kemajuan dan keberkesanan Perkara 153 hendaklah dilaksanakan selepas 10 tahun ia diguna pakai di bawah Perlembagaan. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN