KUALA LUMPUR: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) menggesa semua bekas anggotanya untuk segera mendaftar dengan persatuan sekiranya mahu menerima insentif yang disediakan oleh kerajaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi PVATM, Kapten (Bersara) Datuk Sharuddin Omar berkata, semua bekas anggota yang berkhidmat dengan angkatan tentera perlu ada inisiatif sendiri dan tidak memberi alasan untuk tidak berbuat demikian.
“Difahamkan, insentif yang diberikan oleh kerajaan itu berjumlah RM300 kepada bekas anggota yang berusia lebih 60 tahun. Mereka automatik boleh dapat bantuan sara hidup pasa jumlah itu tetapi kenalah daftar dahulu dengan persatuan.
“Kalau tak mempunyai data lengkap, segala urusan pembayaran elaun itu tak dapat dilaksanakan. Mesti kena lengkapkan sebagaimana yang dikehendaki dalam borang permohonan di laman sesawang.
“Boleh juga rujuk dengan persatuan dan kami akan berikan panduan bagaimana untuk lengkapkan data. Kena juga pastikan akaun bank itu aktif, jika tidak aktif ia akan menyukarkan juga urusan pembayaran kelak,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini bagi mengulas mengenai kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari yang memaklumkan bahawa terdapat kira-kira 100,000 bekas tentera yang berhenti tanpa pencen masih belum mendaftarkan diri PVATM.
Katanya, pendaftaran itu perlu segera dilakukan di kawasan masing-masing bagi memudahkan urusan kebajikan dan pentadbiran dilaksanakan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).
Malah, menurut Adly, ini bagi melibatkan mereka dalam kerjaya kedua selepas berhenti daripada perkhidmatan seperti dirancang Kementerian Pertahanan.
Selain itu, kata Sharuddin, pihaknya menggesa agar semua bekas anggota tidak berpencen mengambil perhatian mengenai perkara ini bagi mengelak timbul isu keciciran dan sebagainyaz
“Sebenarnya memang ramai lagi tidak berdaftar dengan persatuan. Angka 100,000 itu bahkan mungkin lebih. Masalah ini timbul kerana bila anggota meninggalkan perkhidmatan tanpa pencen, dia tidak ada rekod sebagaiman anggota yang berpencen.
“Rekod anggota berpencen ada dikawal selia dan dikemaskini kerana mereka terima pencen itu setiap bulan, manakala yang tidak berpencen terputus data.
“Sebab itu saya nasihatkan daftar segera supaya kemaskini rekod baharu dapat dilakukan dan pembayaran insentif tersebut juga dapat dilaksanakan secara sistmatik dan teratur.
“Walaupun RM300 itu kedengaran mungkin sedikit, tetapi jika dikira secara tahunan, ia satu jumlah yang banyak dan dapat membantu serba sedikit keperluan bekas anggota yang tidak lagi berkhidmat,”katanya.-UTUSAN










