Projek cetak buku: Bekas menteri mungkin dipanggil SPRM

Projek cetak buku: Bekas menteri mungkin dipanggil SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keterangan lima saksi telah pun diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung projek percetakan buku bernilai RM80 juta.

Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, kesemua keterangan saksi itu diambil SPRM sebaik sahaja dua individu termasuk seorang setiausaha politik bekas menteri ditahan malam semalam.

Sumber itu berkata, kira-kira 20 saksi telah pun dikenal pasti SPRM bagi membantu siasatan sama.

“Individu yang telah diambil keterangan membabitkan mereka dari sebuah agensi kerajaan dan pemilik syarikat yang terlibat.

“SPRM juga sedang mengkaji dokumen-dokumen yang diambil daripada syarikat dan agensi kerajaan itu,” katanya di sini.

Tambah sumber itu, dua suspek yang direman masih ditahan sehingga Selasa ini bagi keterangan mereka diambil SPRM.

Dalam pada itu, memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sesiapa sahaja termasuk seorang bekas menteri berkemungkinan akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung projek membabitkan percetakan buku itu.

“Mungkin kita akan panggil beliau tetapi bukan sekarang,” jelasnya.

Terdahulu, dua individu termasuk seorang setiausaha politik bekas menteri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta rasuah bagi meluluskan projek percetakan buku bernilai kira-kira RM80 juta membabitkan sebuah kementerian secara rundingan terus.

Sumber berkata, suspek pertama berusia dalam lingkungan 20-an yang juga bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri kanan bersama suspek kedua yang juga pemilik syarikat berusia lewat 50-an dipercayai bersubahat dengan bekas menteri kanan tersebut sebagai balasan meluluskan projek percetakan buku secara rundingan terus.

“Rundingan berkenaan dibuat melalui syarikat milik suspek kedua,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Nur Adilah bt Halid telah membenarkan kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 26 September 2023 selepas pihak SPRM membuat permohonan reman tersebut pagi tadi.

Dua hari lalu tular WhatsApp mengaitkan bekas menteri itu dengan beberapa individu berkaitan pemberian kontrak penyelenggara bangunan di bawah kementeriannya sebelum satu laporan dibuat UMNO Wilayah Persekutuan pada Khamis lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN