Program Pemantapan Antirasuah, Integriti antara Felcra SPRM

Program Pemantapan Antirasuah, Integriti antara Felcra dengan SPRM

AHMAD Jazlan (tengah) bersama peserta bergambar pada program Pemantapan Antirasuah dan Integriti bersama Felcra Berhad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Program Pemantapan Antirasuah dan Integriti telah dianjurkan Felcra Berhad dengan  kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur semalam.

Menerusi program itu, seramai 70 peserta terdiri daripada Ahli Lembaga Pengarah serta pengurusan tertinggi Felcra Berhad terlibat.

Penglibatan itu bertujuan untuk mempertingkatkan usaha berterusan pencegahan dan pendidikan antirasuah dalam memastikan urusan perniagaan dijalankan dalam persekitaran bebas rasuah.

Antara peserta yang hadir adalah Pengerusi Lembaga Pengarah Felcra Berhad, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Timbalan Pengarah Belanjawan Kementerian Kewangan, Nor Azizati Hamzah; Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Mat Roni Zakaria dan Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Kuala Lumpur, Razali Khamis serta pengerusi-pengerusi subsidiari Felcra Berhad.

Program sehari itu dimulakan dengan sesi menandatangani buku pelawat kemudian diteruskan dengan lawatan ke bilik rakaman percakapan saksi, bilik kawad cam, video interview room (VIR) dan lokap SPRM Kuala Lumpur sebagai pendedahan ringkas di dalam pengendalian sesuatu proses siasatan.

Program Pemantapan Antirasuah dan Integriti Felcra Berhad ini diteruskan lagi dengan sesi penerangan dan sesi dialog mengenai kesalahan rasuah mengikut Akta SPRM 2009 dan Liabiliti Korporat Seksyen 17A Akta SPRM 2009 oleh Ketua Cawangan Pemeriksaan dan Perundingan SPRM Kuala Lumpur, Asrulna’im Abdullah.

Manakala taklimat insentif potongan cukai disampaikan oleh Ketua Cawangan Pendidikan Masyarakat SPRM Kuala Lumpur, Zairinhani Zulkifly.

Sesi dialog itu turut menekankan beberapa isu yang menjurus kepada pelanggaran rasuah dan integriti serta kaedah pembudayaannya di dalam organisasi korporat selain turut dikongsikan kes  sebenar mengikut seksyen kesalahan Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin turut memberi peringatan kepada kesemua Ahli Lembaga Pengarah serta Pengurusan Tertinggi Felcra Berhad agar tidak terbabit dengan sebarang jenayah rasuah mahupun pelanggaran isu integriti dalam memastikan tadbir urus selari dengan kehendak peraturan, pekeliling, arahan dalaman dan akta yang berkuat kuasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN