ANALISIS
BOLEH dikatakan kemunculan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai bermula minggu ini berjaya menarik kehadiran orang ramai ke setiap program Menteri Besar Kedah itu.
Aura Pengarah Pilihan Raya Pas itu secara tidak langsung berjaya memikat pengundi bukan sahaja dalam kalangan kaum Melayu malah India yang tidak melepaskan peluang menghadiri ceramah perdana Perikatan Nasional (PN) di Felda Kemasul, Simpang Pelangai sehari sebelum hari penamaan calon.
Malah kehadiran ‘Panglima Perang Pas’ itu ke ceramah perdana pada hari berikutnya juga disambut dengan hampir 1,000 orang ramai dengan angka itu dilihat boleh menggugat misi Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kemenangan.
Namun sebaliknya pula sebaik sahaja Muhammad Sanusi pulang ke Kedah apabila semua program kempen dan ceramah PN lengang, seolah-olah menunjukkan kehadiran orang ramai bukan kerana calon PN, Kasim Samat tetapi kerana Menteri Besar Kedah itu.
Misalnya satu acara ceramah dihadiri Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kelmarin dilihat hambar apabila banyak kerusi kosong dan hanya dihadiri jentera parti, bukannya penduduk Pelangai seperti dua program perdana sebelum ini.
Situasi itu secara tidak langsung memperlihatkan PN dan Pas hanya mengharap aura Muhammad Sanusi untuk meraih sokongan, jika tiada beliau maka hilanglah sokongan untuk mengekalkan kesinambungan gelombang hijau sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini. Secara teorinya ‘tanpa Sanusi, PN kalah’.
Berbanding Barisan Nasional (BN), meskipun tidak ada kempen besar-besaran diadakan seperti PN, mereka memberita tumpuan terhadap kempen secara bersasar dan berkelompok yang memfokuskan pengundi putih dan kelabu seperti aktiviti ziarah rumah ke rumah.
Itupun belum sampai ke pecutan tahap dua apabila pemimpin utama BN dan kerajaan perpaduan masih belum turun padang berkempen dan dijangka berbuat demikian dalam masa terdekat.
Mungkin PN perlu menukar corak kempen tanpa mengharapkan semata-mata Muhammad Sanusi yang mungkin digemari kerana gaya ceramah bersahaja dan sinis, bukannya kerana sokong calon pilihan raya.
Malangnya Muhammad Sanusi perlu pulang ke Kedah demi tugas sebagai Menteri Besar dan tidak boleh berkampung selama dua minggu di Pelangai semata-mata untuk berkempen. – UTUSAN










