PRK Pelangai: Misi tambah kerusi ke-18 DUN Pahang

PRK Pelangai: Misi tambah kerusi ke-18 DUN Pahang

KASIM SAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CUBAAN kali kedua tidak mematahkan misi calon Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Kasim Samat, 60, bagi mencapai misi menyumbang kerusi ke-18 parti gabungan itu pada 7 Oktober ini.

Sekalipun menerima tohmahan calon kitar semula, bekas guru itu kekal menaruh harapan agar kesinambungan gelombang hijau bermula daripada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) dapat diteruskan dalam pilihan raya kecil berkenaan.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, JUANI MUNIR ABU BAKAR, Kasim menjelaskan meskipun tambahan kerusi tidak mampu menggugat kedudukan kerajaan negeri, beliau yakin usaha itu dapat memberi tekanan besar kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan yang menerajui tampuk kepimpinan.

UTUSAN: Mampu gugat cabaran BN-PH dalam PRK Pelangai?

KASIM: Saya terbuka dengan usaha dan cabaran masing-masing. PRK ini sudah pertarungan yang lain, malahan gabungan mereka sebenarnya tidak kukuh.
Kehadiran Pas dalam pilihan raya ini merupakan satu kepercayaan PN untuk membawa gelombang kemenangan di Pelangai. Saya akan berusaha bersungguh-sungguh menjadikan N36 sebagai kerusi ke-18 PN dalam Dewan Undangan Negeri Pahang.

Yakin gelombang hijau berjangkit ke Pelangai?

Insya-llah, saya lihat anak-anak muda akan beralih kepada kami dengan gelombang itu sampai juga ke DUN Pelangai. Di sini kebanyakan anak muda adalah anak murid saya sama ada di sekolah atau silat, apabila mereka menjadi murid saya, sudah tentu ibu bapa juga rapat dan mengenali saya.

Komen berkenaan pertarungan antara guru dan bekas anak murid?

Itu secara kebetulan, di dalam politik tidak kira siapa guru atau bekas anak murid. Yang penting sekali kita perlu jalan terus untuk meraih kemenangan.
Pertarungan pilihan raya dan hubungan guru dengan anak murid merupakan dua perkara berbeza. Yang penting hubungan silaturahim tetap baik.

Apakah isu yang mahu diketengahkan?

Saya membawa isu pembangunan, begitu juga jalan keluar masuk ke DUN ini yang agak ketinggalan. Maka perkara akan dibangkitkan dalam kempen DUN Pelangai sepanjang dua minggu berkempen.

Komen berkenaan kenyataan PN mentadbir, kawasan Parlimen atau DUN jadi mundur?

Sebenarnya pembangunan merupakan hak milik semua hatta sekalupun berbeza fahaman politik. Jadi tidak kira daripada parti mana yang menjadi wakil rakyat, yang penting pembangunan kena diutamakan.
Sehubungan itu, jika saya menang DUN Pelangai, saya akan teruskan usaha pembangunan tanpa mengira pandangan dan fahaman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN