PRK Pelangai: Dulu anak muda PN, Pas pun undi Johari

PRK Pelangai: Dulu anak muda PN, Pas pun undi Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANALISIS

ALLAHYARHAM Datuk Seri Johari Harun adalah insan yang begitu dihormati dalam kalangan rakyat di Pelangai tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang politik.

Sehingga kini, rakyat di Pelangai berasa cukup kehilangan wakil rakyat yang dianggap sahabat baik mereka di kawasan itu kerana sentiasa cakna dengan masalah penduduk di situ.

Biarpun terpaksa menerima hakikat Johari sudah tiada dan bakal menerima wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai 7 Oktober ini, rakyat di situ menyifatkan Allahyarham Johari sebagai wakil rakyat yang tiada gantinya.

Bak kata seorang generasi kedua yang ditemui Utusan Malaysia di Felda Chemomoi, Ibrahim Ismail, 36, pengundi khususnya anak muda di Pelangai mengundi atas faktor individu bukan parti politik.

“Kami mengundi sebab individu, bukan parti. Kami mahu wakil rakyat yang sentiasa dekat dengan rakyat dan cakna dengan masalah kami.

“Dulu apa Allahyarham tidak bagi pada kami, apa diminta semua ditunaikan. Sehinggakan anak muda penyokong Perikatan Nasional (PN) serta Pas pun malu alah dan mengundi Allahyarham Johari,” katanya.

Pada PRK Pelangai kali ini, BN menampilkan anak Felda Chemomoi, Datuk Amizar Abu Adam, 50, PN pula memilih semula calon yang tewas kepada Johari pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu iaitu Kasim Samat, 62, dan seorang calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli, 36.

Johari yang kali pertama bertanding mewakili BN pada PRU15 lalu menang dalam saingan empat penjuru di Pelangai dengan majoriti 4,048 undi.

Pengundi di Pelangai sudah terikat dengan semangat ‘Pelangai untuk Pelangai’ iaitu calon mesti anak tempatan yang berkhidmat dan dikenali di kawasan berkenaan.

Sebelum ini, Tan Sri Adnan Yaakob menjadi wakil rakyat di kawasan itu sejak 1986, manakala Johari yang juga anak didik bekas Menteri Besar selama 19 tahun sudah dikenali sejak 2018 lagi sebelum terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada PRU15 lalu.

Kedua-dua tokoh tersebut begitu dikenali ramai, berkaliber dan berwibawa. Tentunya semangat ‘Pelangai untuk Pelangai’ itu akan terus diterjemahkan pengundi pada PRK Pelangai, 7 Oktober ini bagi pengundi memilih wakil rakyat yang mempunyai kualiti dan menyamai dua tokoh hebat berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN