KUCHING: Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) menyasarkan hasil pendapatan setiap keluarga tani di Sarawak sebanyak RM6,000 sebulan, menjelang 2030.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom menegaskan PPNS memainkan peranan penting dalam menjalinkan kerjasama dan strategi pemasaran bersama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
“Usaha ini selaras dengan hasrat kerajaan Sarawak dalam mencapai pendapatan sebanyak RM6,000 sebulan bagi setiap keluarga tani di negeri ini pada 2030.
“Justeru, pemain industri peru lebih produktif agar dapat menghasilkan keuntungan yang lebih banyak dalam meningkatkan pendapatan. Pada masa yang sama petani di negeri ini perlu memberi fokus kepada pertanian yang mengguntungkan,” tegasnya.
Dalam pada itu Rundi juga menggesa agar petani bergiat aktif dalam mencebrui sistem penyelidikan dan Pembangunan (R&D) kepada hasil pertanian mereka.
“Sektor pertanian di Sarawak ini juga perlu maju seiring dengan perkembangan teknologi yang baharu agar dapat meningkatkan lagi pengeluaran hasil pertanian dengan kualiti yang baik.
“Oleh itu, kita perlu belajar dan mengubah minda kita bagi memajukan sektor pertanian di Sarawak ini,” katanya sambil mengajak agar ahli pertubuhan peladang mendaftar melalui platform Etani bagi mengemas kini maklumat mereka.
Beliau berkata demikian di pada majlis jamuan sempena Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-38 Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) 2023 di Kuching.
Seramai 175 para perwakilan yang mewakili 177,000 ahli peladang daripada 28 PPK akan menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan PPNS pada tahun ini.
Majlis turut menyaksikan penyampaian program kecemerlangan pelajaran negeri Sarawak tahun 2023 berjumlah RM28,000, penyampaian wakalah zakat kepada pertubuhan peladang di Sarawak sebanyak RM159,096.84 serta penyampaian sumbangan pengurusan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PPNS tahun 2023 bernilai RM7,985.
Turut hadir sama Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Industri Makanan) merangkap Pengerusi PPNS, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Zamri Yaakob serta Pengurus Besar PPNS, Gom Raway. –UTUSAN










