PETALING JAYA: Proses mengambil keterangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan beliau yang dipercayai mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas parti itu di Bakri, Muar, Johor, minggu lalu yang sepatutnya berlangsung hari ini ditangguhkan.
Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu, polis sepatutnya mengambil keterangan Abdul Hadi hari ini, namun ditangguhkan kerana masalah kesihatan yang dialaminya.
“Pegawai perakam dimaklumkan oleh wakil beliau (Abdul Hadi) masih uzur dan meminta proses berkenaan ditangguhkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Usaha Utusan Malaysia meninjau Pejabat Agung Pas yang terletak di Jalan Raja Laut mendapati tiada mana-mana individu hadir ke premis berkenaan.
Utusan Malaysia difahamkan, pertemuan berkenaan sepatutnya berlangsung kira-kira pukul 4.30 petang tadi.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan, kenyataan pemimpin itu akan diambil Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) di pejabat beliau yang terletak di ibu negara.
Kata beliau, tindakan itu dilakukan selepas pihak Abdul Hadi bersetuju untuk tampil memberi keterangan.
Pada 28 Ogos lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan dibuka terhadap Abdul Hadi di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Bachok yang juga Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman dalam satu kenyataan di media sosial X (dulu dikenali sebagai Twitter) mengesahkan Abdul Hadi dipanggil Bukit Aman berhubung laporan polis membabitkan ucapan beliau dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Simpang Jeram, Muar.
Abdul Hadi dalam ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) Johor di Bakri pada dua hari lalu dipercayai menyentuh bidang kuasa Lembaga Pengampunan dan mendakwa cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah tidak sesuai ajaran Islam.
Presiden Pas itu bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada Bukit Aman berhubung suatu laporan polis terhadap ucapan beliau dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram, Johor.
Setiausaha Politiknya, Syahir Sulaiman berkata, pihaknya dihubungi Bukit Aman pagi tadi untuk memberi keterangan.
“Perkara ini sudah pun dimaklumkan kepada Tan Sri Tuan Guru dan beliau menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Bukit Aman,” kata Syahir. -UTUSAN










