KUALA LUMPUR: Kira-kira RM93.2 juta akaun dan aset termasuk hartanah milik Jasmine Loo Ai Swan yang dikaitkan dengan hasil penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjaya diperolehi semula oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kesemua aset dan hartanah berkenaan dipercayai berada di beberapa negara luar iaitu di Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura.
Turut dirampas hasil daripada dana 1MDB iaitu dua utas jam tangan mewah iaitu jenama Richard Mille dan Harry Winston dan 13 buah beg tangan termasuk jenama Birkin dan seutas gelang tangan dan pelbagai dokumen.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan menunjukkan Jasmine Loo adalah pemilik sebuah syarikat iaitu River Dee International SA yang didaftarkan di British Virgin Islands.
Kata beliau, syarikat ini dikatakan telah menjalankan perniagaan hartanah dan telah membuka akaun iaitu menerusi Falcon Private Bank bersama Jho Low pada November 2012.
Jelas beliau, melalui syarikat berkenaan, Jasmine Loo dipercayai telah menerima lima transaksi daripada beberapa entiti dan syarikat berjumlah USD16,074,975.00.
“Hasil wang berkenaan telah digunakan Jasmine Loo membeli dua lot hartanah iaitu satu terletak di New York bernilai USD4,610,000.00 dan London berjumlah USD2,792,282.93 dan membuat pelaburan.
“Jasmine Loo turut mengesahkan telah menerima hadiah dua utas jam tangan mewah iaitu jenama Richard Mille dan Harry Winston oleh Jho Low.
“Selain itu, Jho Low juga dikatakan telah menghadiahkan Jasmine Loo sebuah beg tangan jenama Birkin,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini. – UTUSAN