KUALA LUMPUR: Polis menafikan kejadian pembunuhan tiga lelaki warga Sri Lanka yang ditemukan dalam sebuah stor di Jalan Perhentian Kampung Kovil Hilir pada Sabtu lalu adalah berkaitan dengan konflik di negara asal mereka.
Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, siasatan awal menunjukkan memang tidak ada kaitan dengan perkara tersebut.
Kata beliau, motif sebenar kejadian itu tidak dapat dipastikan selagi dua suspek utama kes bunuh itu tidak ditahan.
“kedua-dua suspek masih bebas dan sedang dikesan polis dan percaya kes dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
“Kita yakin mereka masih berada di kawasan sekitar dan tidak mungkin lari keluar negara,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Kata beliau, kes berkenaan masih disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Setakat ini, dua individu yang juga suami isteri warga Sri Lanka masih ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.
Sabtu lalu, media melaporkan tiga mayat warga Sri Lanka ditemukan polis di dalam sebuah bilik stor.
Ketiga-tiga mayat itu diletakkan dalam keadaan bertindan, diikat kaki dan tangan manakala kepala mereka ditutup dengan plastik.
Satu daripada mayat itu ditemukan dalam keadaan tanpa sebarang pakaian.-UTUSAN










