Polis KL laksana Ops Hormat Undang-undang Fasa 2 bermula lusa

Polis KL laksana Ops Hormat Undang-undang Fasa 2 bermula lusa

ALLAUDEEN ABDUL MAJID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur akan melaksanakan Operasi Hormat Undang-undang Fasa 2 dengan penguatkuasaan lebih tegas bermula 15 September sehingga 29 September ini di 16 lokasi di sekitar ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, operasi itu akan memfokuskan tujuh jenis operasi iaitu Op Parkir Haram, Op Halangan, Op Lampu Merah, Op Nombor Pendaftaran, Op Cermin Gelap, Op Motosikal dan Op Didik.

“Sebanyak 16 lokasi menjadi tumpuan lokasi berkenaan ini termasuk Persimpangan Jalan Tun Razak, Persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Persimpangan Jalan Raja Laut dan Persimpangan Jalan Sultan Ismail.

“Pelaksanaan operasi turut dijalankan ketika waktu puncak melibatkan 1,000 polis dengan kerjasama tiga agensi antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Alam Sekitar,” katanya kepada pemberita di Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini hari ini.

Menurutnya, operasi itu dijalankan susulan kesan positif terutama membabitkan kepatuhan orang ramai terhadap peraturan jalan raya pada Op Hormat Undang-Undang Fasa 1 bermula 1 Julai hingga 31 Julai lalu.

“Dalam operasi itu, kita telah mengeluarkan sebanyak 157,000 saman.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk tidak mengabaikan tanda lalu lintas dan mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan semua pihak,” katanya.

Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam melakukan kesalahan jalan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN