KUALA LUMPUR: Polis sekali lagi akan mengambil kenyataan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi ini berkaitan dakwaan kenyataan berkaitan orang Melayu akan hilang kuasa ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram, baru-baru ini.
Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain kepada Utusan Malaysia.
“Saya sahkan,” katanya.
Utusan Malaysia difahamkan, keterangan bekas Perdana Menteri akan diambil di pejabat beliau di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Jalan Sentral di sini.
Tindakan itu akan dilakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman di bawah Seksyen 4(A) Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Pada 3 September lalu, bekas Perdana Menteri itu didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam ceramah kempen DUN Simpang Jeram, Johor.
Ucapannya itu turut dikongsi menerusi halaman Facebook yang mana mengandungi dakwaan Melayu pada hari ini tidak lagi menguasai kerajaan, maknanya orang Melayu sudah hilang kuasa, sedar ataupun tidak, betul ataupun tidak.-UTUSAN