PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan untuk memberi penjelasan berhubung keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Parlimen.
“Mungkin. Insya-Allah” katanya ketika ditanya sama ada beliau bersedia memberi penjelasan mengenai DNAA itu.
Media sebelum ini melaporkan, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menggesa Perdana Menteri memberi penjelasan sendiri di Dewan Rakyat mengenai keputusan DNAA Ahmad Zahid.
Hassan berkata, penjelasan itu penting bagi membolehkan Ahli Parlimen pembangkang mendapat penjelasan sebenar mengenai isu berkenaan.
“Adalah lebih baik Perdana Menteri menjelaskan sendiri isu berkaitan Presiden UMNO itu berbanding kenyataan yang dilaporkan dalam media,” katanya.
Sebelum ini, Anwar menegaskan beliau tidak pernah campur tangan dalam kes mahkamah melibatkan Ahmad Zahid.
Malah, Anwar juga menyatakan tidak pernah memberi arahan kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkaitan permohonan menghentikan prosiding yang mendorong kepada keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan terhadap Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan. -UTUSAN