PM tiba di China sempena CAEXPO ke-20 - Utusan Malaysia

PM tiba di China sempena CAEXPO ke-20

ANWAR Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Nanning Wuxu. - WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Nanning, Guangxi, China sempena Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2023 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS) yang berlangsung dari 16 hingga 19 September ini.

Perdana Menteri tiba menerusi pesawat yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Nanning Wuxu pada pukul 3.53 pagi tadi, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ketibaan beliau disambut Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing dan Ahli Jawatankuasa Tetap Parti Komunis China, Wenhao.

Anwar dijadual berucap pada majlis perasmian CAEXPO dan CABIS bersama-sama Perdana Menteri China, Li Qiang serta pemimpin ASEAN lain.

Sepanjang mengadakan lawatan kerja di sana, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Li bagi membincangkan hubungan dua hala Malaysia-China serta mengadakan sesi libat urus dengan syarikat korporat China.

Ini merupakan kunjungan kedua Anwar ke China selepas lawatan sulungnya semasa melawat Beijing dan Hainan pada Mac lalu.

Hasil lawatan tersebut menyaksikan Malaysia berjaya memperoleh komitmen pelaburan dari China bernilai RM170 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN