KUANTAN: Surau Al-Hidayah Felda Bukit Kuantan di sini memerlukan sumbangan sekitar RM60,000 bagi membaik pulih atap surau terbabit yang uzur dan bocor hampir 80 peratus sejak lima tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi surau itu, Mohamed Tahar, 71, berkata, keadaan itu menimbulkan rasa kurang selesa para jemaah kerana setiap kali hujan, air akan mengalir keluar dari kawasan bocor yang berada di sekeliling dinding surau tersebut.
Katanya, perkara ini sudah berlarutan lama dan ada suatu masa ia berlaku ketika para jemaah sedang solat yang mana tempias air hujan dari atap yang bocor terkena pada imam dan jemaah.
“Walaupun ketika ini hujan tidak selalu berlaku, namun setiap kali hujan, kami perlu berjaga-jaga dan menyediakan tujuh besen untuk menadah air hujan yang bocor,” katanya di sini semalam.
Mohamed berkata, pihaknya sudah membuat permohonan kepada pihak berwajib bagi mendapatkan sumbangan membaik pulih surau, namun sehingga kini belum menerima sebarang jawapan.
“Kami sudah membuat kertas kerja menyatakan jumlah diperlukan berikutan kami berhasrat mahu meninggikan sedikit bumbung surau selain menggantikan baharu atap surau yang sudah rosak akibat dimakan anai-anai.
“Selain itu, perkiraan terbabit juga dibuat berdasarkan harga semasa bahan mentah selain upah yang perlu dibayar kepada tukang,” katanya.
Bercerita lanjut tentang surau terbabit, imam Surau Al-Hidayah Felda Bukit Kuantan, Abu Hanipah Kasim, 85, berkata, ia dibina sejak awal kemasukan peneroka di tanah rancangan itu sekitar 1977.
“Pada awalnya surau ini dibina menggunakan kayu. Sekitar 1999, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar pada ketika itu, Tun Mohd. Khalil Yaakob menghulurkan bantuan untuk menaik taraf surau dari kayu kepada batu.
“Kini sudah 23 tahun berlalu dan keadaan surau sudah semakin uzur dengan beberapa bahagian sudah mula dimamah anai-anai jadi ia perlu dibaik pulih semula,” katanya.
Tambahnya lagi, setakat ini mereka sudah mengumpul sekitar RM5,400 hasil sumbangan penduduk setempat dan orang ramai serta berharap dapat mencapai sasaran jumlah diperlukan untuk membaik pulih surau terbabit.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan untuk membaikpulih surau itu boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam Surau Al-Hidayah 06019010077804. – UTUSAN