JOHOR BAHRU: Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar menganggap pergolakan dalam UMNO Bahagian Pulai sebagai `bonus’ kepada parti itu menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK), 9 September ini.
Namun, Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulai itu berkata, pergolakan itu tidak dianggap kelebihan bagi dirinya dan beliau enggan mengambil pusing perkara tersebut.
“Jika kita melayan atau bergantung dengan keadaan itu, kita akan lemah dan berkhayal. Jika bergolak sekali pun, belum tentu mereka sokong saya,” katanya ketika ditemui semasa berkempen di Kempas, di sini, semalam.
Minggu lalu sebanyak 11 kain rentang dengan tertera mesej ‘Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Pulai menolak calon Pakatan Harapan’ yang digantung di sekitar kawasan Parlimen Pulai tular dalam media sosial.
Susulan itu, Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed menjelaskan, tindakan tersebut bukan dilakukan ahli UMNO tetapi pihak lawan yang mahu memecahbelahkan perpaduan parti.
Mengulas lanjut, Zulkifli menegaskan pihaknya tiada masa untuk melakukan perbuatan itu yang disifatkan sebagai membazir wang sahaja.
“Daripada saya membelanjakan duit untuk membuat kain rentang itu, lebih baik saya gunakan sebagai kempen jentera saya, itu lebih berfaedah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad mengakui wujud boikot berkenaan tetapi hanya membabitkan segelintir ahli akar umbi khususnya golongan yang lebih berusia.
Justeru, katanya, jentera UMNO terus komited membantu dan menyokong perjalanan kempen calon PH, Suhaizan Kayat bagi membantunya memenangi PRK itu pada 9 September ini.
“Kita tidak nafikan mungkin ada boikot berlaku, tetapi itu hanya melibatkan ahli-ahli parti yang lebih berusia, manakala jentera kita tetap turun padang membantu kempen calon,” katanya selepas menghadiri program formasi kereta berbentuk Jalur Gemilang terbesar di Sireh Park, Iskandar Puteri, semalam.
Pandak yang juga bekas Setiausaha Kerja UMNO Johor memberitahu, kepimpinan UMNO negeri beserta Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi juga telah memberikan jaminan jentera parti itu akan memberi kerjasama sepenuhnya.
“Sebenarnya jentera kita telah bergerak lebih awal lagi dalam menyantuni masyarakat di kawasan ini. Jadi, tiada boikot oleh jentera,” katanya. -UTUSAN










