YAN: Sekumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) menemukan dua arca Buddha hampir lengkap dan prasasti (tulisan kuno atas batu) di Tapak Arkeologi Bukit Choras, di sini, baru-baru ini.
Kumpulan penyelidik yang diketuai Pensyarah Kanan PPAG USM, Dr. Nasha Rodziadi Khaw percaya tapak arkeologi tersebut berusia sekitar abad kelapan hingga kesembilan Masihi iaitu sezaman dengan kebanyakan tapak candi lain di Lembah Bujang dan perkembangan zaman Srivijaya.
Pesuruhjaya Warisan, Mohd. Azmi Mohd Yusof berkata, penyelidikan ekskavasi itu adalah projek rintis dalam bidang penyelidikan dan pendidikan susulan daripada memorandum persefahaman (MoU) antara Jabatan Warisan Negara (JWN) dengan universiti awam yang ditandatangani pada Mac lalu.
Katanya, tapak tersebut telah diwartakan sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 pada 28 Disember 2016.
“Penyelidikan fasa satu yang dilakukan pada 28 Ogos hingga 12 September lalu mendedahkan separuh daripada struktur keseluruhan candi utama.
“Sehingga 8 September lalu, ekskavasi ini telah berjaya mendedahkan struktur binaan candi yang jauh lebih besar dan lengkap dengan memperlihat separuh daripada bahagian dinding utara dan selatan serta keseluruhan dinding barat candi.
“Bahagian kaki candi pula memperlihat susunan bertangga serta memiliki orientasi yang bertepatan dengan arah mata angin,” katanya dalam sidang akhbar di Tapak Candi Bukit Choras, semalam.
Katanya, selain itu, dua arca turut ditemukan di dinding selatan dan barat candi ini.
“Walaupun berada dalam keadaan yang haus dan pecah, arca tersebut masih boleh dikenal pasti dan berada dalam keadaan asal (in situ). Kita juga menemukan prasasti beraksara Pallava serta serpihan-serpihan tembikar tanah,”katanya.
Jelasnya, semua arca dan artifak yang dijumpai dibawa ke makmal PPAG, USM untuk kerja-kerja pembersihan, konservasi dan penyelidikan lanjut.
“Tapak ini berpontensi dijadikan sebagai produk pelancongan domestik iaitu tapak arkeopelancongan di daerah Yan yang seterusnya dapat memberi pelbagai kesan limpahan kepada komuniti setempat,” katanya. – UTUSAN











