ISKANDAR PUTERI: Orang ramai yang mengunjungi Festival Majestic Johor (MJF) 2023 berpuas hati dengan acara dan aktiviti yang dianjurkan oleh pihak Tourism Johor.

Rata-rata pengunjung merasa seronok dan teruja apabila datang bersama-sama keluarga dan rakan-rakan menyaksikan pelbagai acara yang diadakan termasuk konsert dan gerai jualan serta pameran.
Seorang pengunjung, Roszana Abu Bakar, 50, mengakui MJF 2023 kali ini banyak menampilkan kelainan terutamanya dengan penganjuran konsert setiap malam.
“Di samping berhibur dan menyaksikan pameran, dapat membeli-belah dan menjamu selera serta boleh bergambar dengan artis-artis yang membuka gerai jualan.
“Selain itu banyak gerai pameran yang menjual barangan kraf tangan dari setiap daerah di Johor,” katanya kepada Utusan Malaysia yang datang dengan keluarga dari Taman Sierra Perdana, Pasir Gudang.
Justeru, dia berharap penganjuran MJF dapat diteruskan pada tahun depan.
Seorang pengunjung dari Muar, Rahmat Razali, 40, berkata, lokasi festival yang dibuat di satu tempat memudahkan orang ramai mengunjungi setiap gerai pameran.
“Tahun lepas agak penat berjalan kerana terdapat dua tapak festival yang memaksa orang ramai berjalan dari satu lokasi ke lokasi lain,” katanya.
Dia yang datang bersama isteri dan anak-anak berpuas hati walaupun datang dari jauh.
Dia berharap festival tersebut dapat diteruskan pada masa depan kerana memberi manfaat kepada banyak pihak, khusus meningkatkan sektor pelancongan.
MJF 2023 yang bermula pada 26 Ogos lalu melabuhkan tirainya semalam.-UTUSAN










