Pengguna ‘tertekan’ harga beras Siam meningkat - Utusan Malaysia

Pengguna ‘tertekan’ harga beras Siam meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kenaikan harga beras seludup dari Thailand antara RM2 hingga RM5 ketika ini menyebabkan rakyat ne­geri ini ‘tertekan’.

Tinjauan mendapati, rata-rata pengguna mengeluh dengan kenaikan itu dan ada dalam kalangan mereka memi­lih mencampurkan beras Siam dengan tempatan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pengguna yang mahu dikenali sebagai Muha­mad, 49, berkata, tindakan itu terpaksa diambil bagi meredakan bebanan yang dihadapi susulan peningkatan harga beras Siam ketika ini.

“Walaupun rasa nasi sedikit berubah apabila beras tempatan dan Siam dicampur, namun sekurang-kurangnya ia dapat membantu menjimatkan kos. Hal ini kerana harga beras tempatan tidak naik.

“Biasa saya akan beli kampit beras Siam sebe­rat 10 kilogram (kg) dan akan mencampurkan dengan beras keluaran tempatan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Za, 40, berkata, walaupun berlaku kenaikan namun permintaan terhadap beras Siam adalah seperti biasa.

“Rata-rata pelanggan mengakui tertekan de­ngan kenaikan itu, namun mereka tetap membelinya kerana tidak mempunyai pilihan.

“Kata pembeli, beras Siam lebih berkualiti selain sudah sebati dengan penggunaan sejak turun-temurun,” katanya.

Za berkata, ketika ini harga sekampit beras 5kg dijual RM19 berbanding harga sebelumnya, RM17.

“Untuk 25kg harga hari ini RM90 manakala sebelumnya RM83. Ia bergantung kepada jenama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN