Pengasingan kuasa langkah hapus persepsi negatif rakyat - Utusan Malaysia

Pengasingan kuasa langkah hapus persepsi negatif rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengasingan kuasa antara Peguam Negara dengan Pendakwa Raya adalah satu mekanisme terbaik untuk mewujudkan suasana sihat, menghapuskan persepsi negatif dan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan negara.

Pada masa sama, ia mampu menghapus persepsi bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) yang bertanggungjawab menentukan pertuduhan terhadap mana-mana individu bebas daripada sangkaan tunduk mengikut telunjuk pemerintah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perlembagaan, Prof. Madya Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, ia antara lain dapat mengelak persepsi bahawa pertuduhan terhadap pemimpin adalah bermotif politik.

Jelasnya, peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara perlu diasingkan memandangkan tanggungjawab kedua-dua mereka berbeza.

“Peguam Negara mestilah seorang individu yang dilantik untuk menasihat Perdana Menteri dan Kabinet dalam mengambil suatu keputusan berlandaskan undang-undang dan Perlembagaan. Jadi dia mestilah mempunyai hubu­ngan baik dengan kerajaan.

“Pendakwa Raya pula mestilah individu yang dilihat bebas daripada pengaruh politik atau kerajaan memerintah supaya pertuduhan terhadap mana-mana individu khususnya bekas pemimpin negara terdahulu jauh daripada sangkaan bermotifkan politik,” katanya.

Pada masa sama katanya, mekanisme pelantikan Pendakwa Raya perlu dikaji secara mendalam supaya tidak me­nimbulkan persepsi ia adalah lantikan politik, jus­teru penubuhan suruhanjaya adalah langkah terbaik.

“Pelantikan Pendakwa Raya mungkin boleh menggunakan mekanisme sama untuk me­lantik seorang Ketua Hakim Negara iaitu melalui suruhanjaya de­ngan keanggotaannya diteliti secara mendalam supaya ada keseimbangan sebelum nama­nya diserahkan kepada budi bicara Majlis Raja-Raja Melayu untuk menentukannya.

“Walaupun pelantikan tersebut adalah atas nasihat Perdana Menteri namun ia masih perlu melalui suruhanjaya itu,” katanya.

Pensyarah Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berpandangan senario politik mutakhir ini adalah sesuatu yang positif apabila ahli politik yang memegang jawatan tertinggi dalam negara tidak lagi merasa kebal dan akan lebih berhati-hati serta mengamalkan tadbir urus baik.

Katanya, walaupun tindakan mendakwa bekas-bekas pe­mimpin di mahkamah mencemarkan imej baik negara namun ia memberi iktibar kepada mereka untuk menjauhi korupsi.

“Jika berlakunya korupsi dan pendakwaan tiada apa-apa yang boleh dilakukan namun apa yang rakyat dan dunia mahu lihat adalah perubahan dari segi ketelusan siasatan dan proses keadilan terhadap individu itu.

“Apabila perkara ini diselesaikan, jika berlaku lagi pendakwaan terhadap bekas pe­mimpin jadi sangkaannya lebih positif. Janganlah sudah dakwa di mahkamah tapi tidak cukup bukti atau ada bukti baru yang akhirnya menjejaskan proses tersebut,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN