Pengarah syarikat rugi lebih RM300,000 ditipu pelaburan tidak wujud - Utusan Malaysia

Pengarah syarikat rugi lebih RM300,000 ditipu pelaburan tidak wujud

MOHD. YUSRI HASSAN BASRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pengarah syarikat berusia 58 tahun berputih mata apabila kerugian RM348,673 setelah menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud melalui laman sosial Facebook.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, penipuan bermula selepas mangsa dari Taman Pinji Seni di sini berkenalan dengan seorang wanita di Facebook pada Julai lalu.

Katanya, wanita terbabit memperdaya mangsa untuk membuat pelaburan melalui aplikasi ‘OSL’.

“Bagi tempoh 12 hingga 26 Ogos, lelaki itu telah memasukkan dana sebanyak lapan kali ke tujuh akaun bank berlainan berjumlah RM348,673.

“Setelah beberapa hari dana tersebut dipindahkan, mangsa mendapati akaun pelaburan OSL miliknya memperoleh keuntungan sebanyak RM1.06 juta,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa kemudiannya diminta membuat pembayaran sebanyak 30 peratus daripada jumlah keuntungan itu jika mahu mengeluarkan wang berkenaan.

Katanya, mangsa mula menyedari dia telah ditipu oleh pelaburan OSL yang tidak wujud itu selepas dikenakan syarat tersebut.

“Mangsa telah membuat laporan polis hari ini dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Yusri menasihati orang ramai supaya berwaspada terhadap tawaran pelaburan dalam platform media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah khususnya melalui aplikasi pelaburan yang tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

“Orang ramai juga boleh menghubungi talian Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) 997 jika menjadi mangsa penipuan tidak wujud dan telah membuat traksaksi ke akaun keldai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya