Pengangguran menurun petanda ekonomi stabil

Pengangguran menurun petanda ekonomi stabil

pengangguran
Pekerja memproses produk susu kambing di Akademi Pengembangan Veterinar Jenang, Terengganu. Kadar pengangguran yang samakin menurun menandakan ekonomi negara semakin stabil. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penurunan kadar pengangguran 3.4 peratus pada Julai lalu menunjukkan ekonomi Malaysia sudah berkembang kerana keyakinan pelaburan terhadap kestabilan politik dan pengenalan dasar Kerajaan Perpaduan yang diumumkan sebelum ini.

Malah, ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 4.0 peratus hingga 4.3 peratus pada tahun ini kerana antaranya disokong pemulihan berterusan pasaran tenaga kerja, pelaksanaan projek dan peningkatan aktiviti pelancongan.

Meskipun terdapat pihak cuba mengganggu-gugat keutuhan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan cakap-cakap pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan lalu, namun, andaian itu meleset kerana kerajaan masih lagi bertahan sehingga hari ini.

Terbaharu, kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai sekali gus mengekalkan penguasaan dua pertiga atau 148 kerusi Kerajaan Perpaduan di dalam Dewan Rakyat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, bilangan penganggur terus menurun kepada 579,000 orang pada Julai memberikan satu indikator positif bahawa ekonomi negara kian berkembang sekali gus mendorong majikan mengambil banyak pekerja untuk meningkatkan produktiviti syarikat.

Katanya, perkara itu tidak hanya membabitkan syarikat gergasi tetapi merangkumi perniagaan kecil dan sederhana (PKS) yang berupaya mengajikan tenaga kerja kerana kemampuan mereka ekoran pusingan kewangan semakin pulih.

Beliau berkata, perkembangan itu adalah sumbangan kestabilan politik dan pelbagai dasar diumumkan kerajaan baru-baru ini dan mendorong keyakinan sektor perniagaan untuk mengembangkan industri masing-masing.

“Selepas lihat kestabilan negara, sudah pasti pelabur ingin datang melabur dan membuka syarikat, perkara ini secara tidak langsung dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk graduan yang baharu menamatkan pengajian, cukup bulan mereka dapat gaji dan berbelanja, akhirnya meningkatkan kitaran ekonomi negara.

“Jadi kestabilan adalah kunci utama keyakinan dan pemacu ekonomi negara, pelabur kini tidak lagi mendengar cerita pertukaran kerajaan yang kerap seperti sebelum ini kerana ia boleh mempengaruhi sentimen mereka dengan melihat terlalu kerap perubahan dasar. Jadi melihat kemenangan dua pilihan raya kecil Pulai dan Simpang Jeram, ia mampu meningkatkan daya tarikan para pelabur asing,” katanya.

Pada minggu lalu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan penganggur pada Julai menurun sebanyak 0.4 peratus kepada 579,200 orang berbanding 581,700 orang pada bulan lepas.

Katanya, bilangan penduduk bekerja pada Julai pula merekodkan peningkatan sebanyak 0.2 peratus iaitu 16.34 juta orang berbanding 16.31 juta pada Jun.

Pada masa sama, Abu Sofian menambah kestabilan politik negara penting buat Malaysia bagi melonjak semula ekonomi negara susulan ketidaktentuan geopolitik global di samping cabaran masalah cuaca yang menjadi faktor krisis keterjaminan makanan.

Beliau berkata, penurunan kadar pengangguran dan jangka ekonomi berkembang sehingga 4.3 peratus menjadi penanda aras ekonomi semakin pulih dan tidak menguncup seperti mana digembar-gemburkan sesetengah pihak sekali gus dapat membantu kitaran ekonomi.

“Rakyat mahu bekerja dan cari duit untuk sara kehidupan, mereka tidak peduli cerita-cerita politik yang tidak berkesudahan kerana menginginkan sebuah kerajaan stabil dan menjamin peluang pekerjaan dan pendapatan tinggi,” katanya.

Sebaliknya, kata Abu Sofian, syarikat tempatan perlu mengutamakan pekerja tempatan dan tidak terlalu bergantung sepenuhnya kepada tenaga asing khususnya membabitkan sektor kritikal seperti pembinaan dan perladangan agar rakyat Malaysia diberikan peluang sebaik-baiknya.

Namun, beliau melihat perkara itu bergantung kepada sistem pendidikan yang mampu menyediakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk melahirkan lebih ramai pekerja mahir.-UTUSAN

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN