ISKANDAR PUTERI: Pelancong dari negara jiran antara pengunjung yang tidak melepaskan peluang memeriahkan Festival Majestic Johor (MJF) 2023 di Puteri Harbour, di sini.
Lien Sapari, 36, bersama suami Zulkifly Zainol, 42, serta beberapa rakan lain bertolak seawal pukul 9 pagi dari Singapura ke festival tersebut yang diketahui daripada rakannya selepas mendapat maklumat menerusi laman sosial Facebook.
“Tujuan utama kami ke sini adalah untuk food hunting. Memang teruja bila lihat banyak khemah yang menjual pelbagai jenis makanan dan rasanya sedap belaka. Kami rancang ke festival ini pada saat-saat akhir selepas rakan ajak. Ini adalah pertama kali kami datang dan baru tahu adanya penganjuran festival seperti ini.
“Biasanya saya dan suami ke bandar raya Johor Bahru mencari tempat makan yang tular. Kami memang suka cuba makanan tular yang ada di Johor lebih-lebih lagi bersama rakan-rakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagi Zulkifly pula, selain food hunting, dia teruja menyaksikan pameran daripada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang turut disediakan pada festival itu.
“Saya memang tidak berapa sangat dengan bola sepak, namun saya kenal pasukan JDT. Bapa mentua adalah salah seorang yang minat pasukan JDT.
“Bahkan dia suka menampal pelekat JDT di keretanya sebagai tanda sokongannya walaupun bukan orang Johor.
“Namun, ayah tidak pernah ke Johor untuk saksikan perlawanan. Bila ada pameran JDT ini, sedikit sebanyak saya juga teruja dan kongsikan pengalaman dengan ayah bila pulang ke Singapura nanti,” katanya yang menetap di Hougang, Singapura. – UTUSAN