MELAKA: Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menyediakan sekurang-kurangnya sebuah tandas awam berstatus lima bintang di kawasan tumpuan pelancong sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.
Timbalan Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkifli Mohd. Zain berkata, sewajarnya setiap PBT di Melaka perlu mempunyai sebuah tandas bertaraf lima bintang.
Menurutnya, kawasan tumpuan di Tanjung Bidara, Zoo Melaka dan sekitar Banda Hilir juga wajib mempunyai lebih banyak tandas sedemikian, sesuai dengan status Melaka sebagai negeri pelancongan.
“Saya difahamkan setiap PBT perlu ada sebuah tandas bertaraf lima bintang kerana mereka ada peruntukan untuk membina sebuah tandas bertaraf lima bintang. Jika PBT ada bajet tertentu, rasanya mereka boleh bina, bukan sahaja satu tetapi dua atau tiga tandas tersebut.
“Kawasan tumpuan orang ramai atau pelancong sewajarnya perlu ada tandas itu kerana ini amat penting untuk imej Melaka sebagai sebagai destinasi pelancongan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis World Clean Up Day Peringkat Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) 2023 di Tandas Awam MITC di sini, hari ini.
Tambah Zulkifli, PBT turut diminta memastikan kebersihan tandas awam berada pada tahap yang baik sempena TMM 2024.
Menurutnya, perkara itu harus diberikan perhatian penting kerana kebersihan tandas adalah cerminan kemajuan sesebuah negara dan imej Melaka.
“Saya lihat sebuah tandas sewaktu berkunjung ke Turki yang sangat bersih dan kita boleh makan dalamnya kerana tidak ada bau busuk. Saya yakin jika ada tandas berstatus lima bintang, tidak mungkin pengguna mahu mengotorkannya sebaliknya akan menggunakannya dengan sempurna,” jelasnya. – UTUSAN