PBI gantung pasukan, pegawai terlibat kekecohan liga bola sepak Ipoh - Utusan Malaysia

PBI gantung pasukan, pegawai terlibat kekecohan liga bola sepak Ipoh

RAKAMAN video kejadian kekecohan semasa perlawanan bola sepak liga Ipoh pada 14 September lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Persatuan Bola Sepak Ipoh (PBI) menggantung pasukan ARL FC dan ketua jurulatihnya, Mohammad Azahar Arafullah serta penolong jurulatih, Mohd. Zaidi Abdul Hamid berikutan kekecohan pada perlawanan liga Ipoh di Padang DR Seenivasagam di sini pada 14 September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PBI, Mohd Zakaria Mohamed berkata, ARL FC digantung tiga tahun dan denda RM500 manakala Mohammad Azahar dan Mohd. Zaidi masing-masing digantung lima tahun.

Menurutnya, Mohammad Azahar dan Mohd. Zaidi dan tiga orang pemain simpanan ARL FC meluru masuk ke dalam padang dengan tujuan untuk menyerang pengadil perlawanan ketika menentang pasukan Veteran Ipoh (VIP) pada perlawanan tersebut.

“PBI memandang serius kejadian mengejar pengadil selepas perlawanan itu.

“Selaku pegawai pasukan, kedua-dua jurulatih sepatutnya tidak mencetus kegawatan dan menunjuk teladan yang baik. Ia sepatutnya tidak berlaku lagi pada era sekarang,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, ketua jurulatih pasukan GMC, Ahmad Faridzul Harun digantung lima perlawanan dan denda RM300 selepas menerima kad merah kerana membaling objek dan mengeluarkan kata-kata menghina pengadil perlawanan.

Turut dikenakan tindakan ialah pemain pasukan GMC, Nor Shahrul Rizan Jumahary yang digantung tiga perlawanan dan denda RM200.

Sementara itu, SMK Anderson, Ipoh diberi amaran keras agar mengawal penyokongnya supaya tidak masuk ke dalam padang meraikan kemenangan selepas wisel penamat dibunyikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya