Parlimen Kemaman: Pas mesyuarat bincang keperluan buat rayuan keputusan petisyen 

Parlimen Kemaman: Pas mesyuarat bincang keperluan buat rayuan keputusan petisyen 

AHMAD Samsuri Mokhtar (dua dari kanan) menyertai perarakan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu di Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas akan mengadakan satu mesyuarat bagi membincangkan sama ada terdapat keperluan membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid  yang mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini, tiada perincian berhubung keperluan mesyuarat tersebut kerana parti itu mahu menunggu keputusan penghakiman bertulis dikeluarkan terlebih dahulu.

“Belum tahu lagi (sama ada buat rayuan atau tidak), kami nak tunggu penghakiman bertulis daripada hakim untuk meneliti apa yang diputuskan dalam penghakiman itu.

“Kemudian, barulah Pas akan buat keputusan, kita harap, Isnin apat tengoklah penghakiman bertulis itu,” katanya selepas majlis perasmian sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini,  hari ini.

Selasa lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias pada PRU15 bagi kerusi Parlimen berkenaan. Hakim Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan tersebut setelah mendapati wujud unsur sogokan kepada pengundi ketika tempoh kempen.

Dalam pilihan raya tersebut, Che Alias menewaskan tiga calon lain termasuk bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan majoriti 27,179 undi.

Ditanya sama ada Pas bersedia  kembali ke gelanggang pilihan raya dengan majoriti yang jauh lebih besar, Ahmad Samsuri berkata, parti itu sentiasa terbuka dengan apa juga kemungkinan yang ada.

“Insya-Allah kalau ada PRK Parlimen Kemaman, (akan menang dengan majoriti lebih banyak) berdasarkan mood semasa,” katanya.

Ditanya sama ada calon yang bakal dipertaruhkan nanti pula, beliau berkata, perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat AJK Pas Pusat nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN