PETALING JAYA: Sebarang langkah mengurangkan hukuman terhadap kumpulan Generasi Penamat Rokok atau GEG memberikan isyarat salah kepada rakyat terhadap matlamat untuk melarang penjualan bahan tembakau kepada generasi muda.
Kerajaan perlu mengenakan hukuman keras terhadap kedai dan pihak menjual rokok atau vape, bukannya menghukum remaja yang didapati mengambil kedua-dua barangan tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kerajaan tidak boleh bertolak ansur dan ambil mudah sehingga terpaksa tunduk dengan desakan segelintir pihak yang membantah draf Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan termasuk mengkaji semula nilai kompaun.
Katanya, Malaysia kini amat memerlukan satu undang-undang yang tegas untuk membendung penjualan rokok kepada generasi muda supaya matlamat mewujudkan generasi bebas rokok dapat dilaksanakan.
“Apa yang lebih baik adalah kekalkan cadangan dan bukannya ringankan hukuman. Jangan ambil mudah dalam soal ini, jika tidak tujuan GEG tidak berjaya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan berhasrat melaksanakan denda lebih ringan iaitu kadar denda sebanyak RM500 bagi kesalahan merokok berbanding RM5,000 yang dicadangkan pada peringkat awal.
Namun Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, pihaknya masih membincangkan bersama Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan berhubung isu itu di Dewan Rakyat semalam.
Namun Pengerusi Persatuan Pengurangan Kemudaratan Malaysia (MSHR), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, kerajaan perlu mengenakan tindakan tegas kepada penjual rokok dan bukannya hukuman keras terhadap remaja yang didapati menghisap bahan tembakau dan vape.
Katanya, tindakan denda terhadap generasi muda merupakan satu diskriminasi khususnya dalam kalangan golongan B40 berbanding mereka yang berkemampuan membayar kompaun dengan serta-merta.
“Maka, adalah lebih kenakan kerja-kerja masyarakat kepada remaja menghisap rokok atau vape dilaksanakan. Ini lebih wajar sebagai satu pengajaran agar mereka tidak mengambil bahan itu pada masa akan datang.
“Sepatutnya kita perlu mengekang penjualan rokok terlebih dahulu, mereka perlu dikenakan hukuman tegas memandangkan pihak ini menjadi punca remaja membeli rokok,” katanya. – UTUSAN










