PUTRAJAYA: Malaysia menerokai pasaran baharu eksport industri florikultur (bunga-bungaan) khususnya bunga orkid ke Asia Barat bagi melonjakkan semula sektor ekonomi itu.
Mengikut rekod, nilai eksport industri bunga-bungaan ini adalah berjumlah RM2.37 bilion bagi tempoh tiga tahun iaitu dari 2017 hingga 2021.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Unit Industri Florikultur, Jabatan Pertanian Malaysia, Mohamad Nizam Malik berkata, bagaimanapun nilai pulangan industri itu merosot ketika tempoh pandemik Covid-19 sehingga menyusut RM100 juta berbanding nilai tahunan yang direkodkan berjumlah RM407.2 juta pada 2021.
“Malaysia merupakan negara pengeksport kesembilan dunia menerusi industri itu dan orkid merupakan salah satu bunga-bungaan dieksport terutamanya ke Singapura dengan nilai purata tahunan sebanyak RM12.06 juta antara 2017 sehingga 2021.
“Sumbangan nilai eksport tahunan industri ini hampir mencecah RM500 juta kepada pendapatan negara yang turut dieksport ke Jepun dan Hong Kong,” katanya di sini semalam.
Mohamad Nizam berkata, bagi pasaran baharu Asia Barat, pihaknya melancarkan Projek Ladang Eksport Orkid Dubai (LEOD) melibatkan sebanyak 36 syarikat pengeluar dengan jumlah keseluruhan keluasan ladang meliputi 72 ekar (28.8 hektar).
Menurut beliau, Dubai dipilih sebagai negara eksport baharu kerana kebolehpasaran yang lebih mudah dan hanya memerlukan Sijil Fitosanitasi (PC) sebagai protokol pengeksportan untuk menembusi pasaran negara itu.
“Urusan pemasaran diuruskan oleh pihak Orchidmas Sdn. Bhd. melalui syarikat di Emiriah Arab Bersatu (UAE), iaitu Orchidmas International LLC dengan kerjasama CKS Foodstuff Trading LLC bagi melancarkan urusan penjualan dan promosi produk di Dubai melalui platform e-dagang (orchidmas.com).
“Pihak CKS Foodstuff Trading LLC merupakan rakan strategik berdasarkan pengalaman 10 tahun mereka dalam pemasaran produk pertanian Malaysia di Dubai terutamanya bagi produk buah-buahan dan sayur-sayuran,” katanya.
Jelasnya, pihak CKS Foodstuff Trading LLC merealisasikan keperluan pihak pengeluar bagi tujuan pembiayaan projek LEOD ini melalui EXIM Bank dengan nilai pesanan pemberlian (PO) berjumlah RM83.9 juta dan kontrak pembekalan lima tahun bernilai RM419.9 juta kepada 36 syarikat terlibat.
Katanya, setiap syarikat pengeluar akan menerima PO bernilai RM2.3 juta manakala bagi nilai kontrak pembekalan lima tahun, setiap syarikat pengeluar akan mendapat kontrak RM11.6 juta.
Program LEOD ini melibatkan tiga projek rintis iaitu LEOD Lukut, LEOD Linggi dan LEOD Sepang. – UTUSAN