Olahraga Pendidikan Khas cungkil bakat baharu

Olahraga Pendidikan Khas cungkil bakat baharu

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSSPs 2023 di Mini Stadium Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan, Kangar, Perlis, semalam.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Majlis Sukan Sekolah Perlis (MSSPs) 2023 merupakan platform terbaik melahirkan atlet pelapis masa depan sebaris dengan jaguh lompat jauh negara, Abdul Latif Romly.

Sejak kejohanan tersebut bermula pada 2008, pelbagai acara sukan ditambah bagi membolehkan lebih ramai atlet sukan para itu dapat dilahirkan di negeri ini.

Pengerusi Teknik Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSSPs 2023, Aznan Mat Isa berkata, sewaktu permulaan dahulu, terdapat hanya lima acara sukan dipertandingkan meliputi lumba lari 100 meter, 200 meter, 4×100 meter, lompat jauh dan melontar peluru.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun kita tambah acara sukan dipertandingkan bagi kejohanan ini antaranya seperti 400 meter, 1,500 meter, 4×100 meter campuran dan merenjam lembing.

“Kita mengambil pendekatan menambah acara ini bagi membolehkan atlet negeri ini dapat bersaing secara lebih kompetitif di peringkat kebangsaan,” katanya ketika ditemui selepas acara penutup Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSSPS 2023 di mini stadium Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan di sini, semalam.

Yang hadir sama menyempurnakan acara penutup kejohanan itu adalah Pengarah Pendidikan negeri, Naharudeen Othman.

Dalam kejohanan kali ini, SMK Syed Alwi dinobatkan sebagai johan keseluruhan bagi peringkat sekolah menengah manakala bagi peringkat sekolah rendah pula diungguli Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Empat.

Sebagai rekod, jaguh lompat jauh negara, Abdul Latif yang memenangi pingat emas dalam acara lompat jauh T20 di Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo, Jepun juga merupakan atlet yang bermula dari Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSSPS.

Dalam pada itu, Aznan berkata, penganjuran sukan pada kali ini turut dibuka buat murid dan pelajar di kelas arus perdana yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU).

Sementara itu, Naharudeen berkata, seramai 432 pelajar meliputi 19 sekolah menengah dan 12 sekolah rendah mengikuti kejohanan itu yang digunakan sebagai platform bagi mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang pendidikan khas.

Katanya, Perlis tidak ketandusan atlet pendidikan khas memandangkan terdapat pelajar dari negeri ini turut terlibat dalam kejohanan di peringkat arus perdana.

“Untuk pendidikan khas tahun ini bagi kejohanan merentas desa, atlet lelaki dan perempuan bawah 19 tahun kita turut berjaya merangkul pingat emas. Melalui atlet ini juga kita harap mereka dapat menyumbang pingat dalam Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas di peringkat Kebangsaan nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×