Nelayan berdepan hukuman mati bunuh isteri - Utusan Malaysia

Nelayan berdepan hukuman mati bunuh isteri

Nelayan bunuh
T. Balamurugan dibawa anggota polis di Mahkamah Majistret Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Seorang nelayan berdepan hukuman mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Kuala Selangor di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada T. Balamurugan, 35, yang mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa membunuh K. Komalah, 38, di sebuah rumah di Jalan Bagan Sungai Janggut, Jeram, di sini. Perbuatan itu dilakukan antara pukul 11 pagi hingga 4.30 petang, 2 September lalu.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun, jika sabit kesalahan. Jika tidak dihukum mati, tertuduh boleh dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Afiq Qiwamuddin Mustapha Shakri yang mengendalikan kes tidak menawarkan kos jaminan ke atas tertuduh.

“Selain itu, pihak pendakwaan memohon tempoh bagi menyediakan dokumen atau laporan berkaitan kes berkenaan. Ia antaranya melibatkan laporan forensik, kimia dan bedah siasat,” katanya.

Peguam Vinesh Segar yang mewakili Balamurugan memohon proses itu disegerakan dan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi secepat mungkin.

Siti Hajar kemudian menetapkan sebutan semula kes bagi penyediaan laporan itu pada 13 Disember depan.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan seorang wanita maut dipercayai akibat didera suaminya sendiri di sebuah rumah di sekitar Jeram.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa mengesahkan pihaknya menerima maklumat mengenai mangsa yang tidak sedarkan diri di lokasi itu daripada pegawai perubatan, kira-kira pukul 4 petang.

Hasil pemeriksaan awal hospital mendapati terdapat kesan kecederaan pada mayat mangsa dan polis menahan lelaki itu bagi membantu siasatan.

Difahamkan, mangsa dipercayai dipukul hingga menyebabkan kecederaan pada anggota badan dan kaki. Suspek yang turut membuat kerja kampung itu mempunyai tiga anak berusia dua bulan, empat dan tujuh tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya