KUALA LUMPUR: Pelakon dan usahawan, Abby Abadi, 45, tidak membiarkan malah akan memberi penjelasan berhubung dakwaan gangguan rumah tangga membabitkan anaknya, Marissa Dania Hakim, 18, yang tular baru-baru ini.
Abby atau nama sebenarnya, Arbaiyah Abdul Manan, menerusi Instastorynya memaklumkan sedang memberi ruang kepada netizen untuk memberi pandangan sebelum menjawab tohmahan yang dilemparkan tentang isu tersebut.
“Tentang isu viral ini, tak apa, sila komen-komen dahulu. Cari pahala ya. Nanti saya jawab.
“Memang sedap bersangka-sangka, menambah-nambah cerita dan menuding jari pada orang,” tulisnya.
Baru-baru ini seorang pengguna platform X mencetuskan kekecohan apabila mendakwa Marissa sebagai peruntuh rumah tangganya.
Dakwaan itu dibuat pengguna akaun umisyamazlan menerusi satu perkongsian yang dimuat naik lewat malam semalam.
Usaha Utusan Malaysia mendapatkan komen Abby dan bekas suaminya, Norman Hakim gagal.