Naik helikopter selama 10 minit pada KUAM 2023

Naik helikopter selama 10 minit pada KUAM 2023

ABDUL RAZAK Abdul Rahman (depan, enam dari kanan) bergambar bersama pegawai dan kakitangan selepas Mesyuarat Penyelarasan KUAM 2023 di LTAM, Batu Berendam, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri menyasarkan seramai 45,000 pengunjung hadir ke Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2023 yang berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam di sini, bermula 29 September hingga 1 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, penganjuran edisi kelapan itu diadakan dalam skala lebih kecil berbanding Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA).

Katanya, antara tarikan utama pada KUAM 2023 adalah pengunjung diberi peluang merasai pengalaman menaiki helikopter.

“Apa yang lebih menarik, pengunjung berpeluang meneroka ruang udara Melaka selama 10 minit dengan bayaran RM270 seorang. Pengunjung dibawa terbang pada ketinggian 5,000 kaki sambil meninjau sekitar Melaka dan Batu Pahat, Johor.

“Karnival ini juga menghimpunkan 41 jenis pesawat, helikopter dan dron daripada pelbagai agensi, persatuan dan syarikat dari dalam dan luar negara. KUAM 2023 menjadi penanda aras dalam menyambut Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 yang mana ia bakal diadakan lagi pada tahun hadapan pada skala lebih besar,” katanya dalam sidang akhbar KUAM 2023 di LTAM di sini, semalam.

Tambah Abdul Razak, setakat ini lima negara telah mengesahkan penyertaan iaitu Singapura, Jerman, Taiwan, Rusia dan Australia.

Menurutnya, banyak pihak menunjukkan minat untuk menyertai karnival kali ini tetapi keluasan kawasan pameran yang terbatas menyebabkan penyertaan terpaksa dihadkan.

“Kerajaan negeri menerima banyak pertanyaan daripada wakil agensi yang berminat, bagaimanapun disebabkan kekangan tertentu kita terpaksa mengehadkan penyertaan dari negara luar. Kita akan melakukan penambahbaikan daripada aspek aktiviti dan menggandakan jumlah penyertaan pesawat tahun depan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya