Mohammad dilantik Panglima Angkatan Tentera ke-22 

Mohammad dilantik Panglima Angkatan Tentera ke-22 

MOHAMAD Hasan (tengah) menyaksikan nota terima tugas Panglima Angkatan Tentera daripada Affendi Buang (kiri) kepada Mohammad Ab. Rahman di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-22 berkuat kuasa hari ini. 

Pelantikan itu dibuat bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Affendi Buang yang berkhidmat selama empat dekad dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 

Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, 55, pula dilantik sebagai PTD ke-30 yang berkuat kuasa hari ini. 

Beliau turut dinaikkan pangkat sebagai Jeneral dan mengambil alih jawatan daripada Mohammad. 

Mailis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas itu disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan di Auditorium Wisma Pertahanan, di sini hari ini. 

Sementara itu, Menteri Pertahanan berkata, pelantikan itu dibuat atas komitmen dan kecemerlangan Mohammad sepanjang menabur bakti dalam perkhidmatan.

“Saya mahu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Mohammad. Pelantikan anak kelahiran Machang, Kelantan ini adalah atas kecemerlangan beliau sepanjang 36 tahun berkhidmat untuk negara. 

“Selain itu, saya juga ingin mengucapkan penghargaan kepada Jeneral Tan Sri Affendi Buang atas jasa bakti dan pengorbanan kerana 43 tahun adalah satu tempoh yang luar biasa. 

“Rakyat mengharapkan sebuah angkatan bersenjata yang utuh bagi menghadapi segala ancaman. Walaupun berlaku perubahan pucuk pimpinan, saya harap semangat kesetiaan dan profesionalisme sentiasa terpahat dalam warga ATM,” katanya. 

Selain itu, pihaknya juga yakin pelantikan Muhammad Hafizuddeain sebagai PTD baharu berupaya membawa TDM ke tahap yang lebih tinggi. 

“Mengambil kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah kepada Muhammad Hafizuddeain atas pelantikannya sebagai PTD ke-30.

“Mempunyai pengalaman luas selepas berkhidmat selama 35 tahun, saya yakin beliau berupaya meneraju TDM dengan baik selain memberikan kepimpinan dan hala tuju baharu,” katanya.

Mohammad, 59, menerima pendidikan awal di Sekolah Menengah Sains Kelantan sebelum melanjutkan pengajian ke Cawangan Putera, Maktab Tentera Diraja pada 1980.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari University of North Carolina, Amerika Syarikat itu ditauliahkan sebagai pegawai muda Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 1 Julai 1987 dan berkhidmat selama 36 tahun.

Antara jawatan yang pernah disandang adalah Pegawai Memerintah Batalion ke-23 RAMD (23 RAMD), Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia (2 Briged), Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), Panglima Latihan Tentera Darat dan Panglima Medan Barat.

Sementara itu, Muhammad Hafizuddeain adalah anak kelahiran Segamat, Johor yang menerima pendidikan menengah di Maktab Tentera Diraja (MTD) pada 1985 sebelum meneruskan kerjaya dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Antara jawatan penting yang pernah disandang Muhammad Hafizuddeain ialah Pegawai Memerintah Batalion Keempat Kor Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Panglima Medan Barat Tentera Darat.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Staf di Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia, Ketua Penolong Setiausaha di Bahagian Dasar Kementerian Pertahanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya