Melaka rangka perjanjian penerbangan lebih adil di LTAM

Melaka rangka perjanjian penerbangan lebih adil di LTAM

LTAM di Batu Berendam, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri sedang merangka terma perjanjian lebih adil supaya syarikat penerbangan yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam di sini tidak menamatkan perkhidmatan sewenang-wenangnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, ketiadaan perjanjian khusus sebelum ini menyebabkan syarikat penerbangan bebas membuat keputusan sama ada meneruskan operasi atau tidak, berdasarkan permintaan pelanggan.

Jelas beliau, antara terma perjanjian dicadangkan adalah menetapkan tempoh tertentu kepada operator untuk beroperasi di LTAM.

“Sebenarnya syarikat penerbangan hanya berurusan dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan bukannya dengan kerajaan negeri. Kerajaan negeri tidak pernah mempunyai perjanjian rasmi dengan mana-mana syarikat penerbangan sebelum ini, sebaliknya mereka beroperasi atas dasar jemputan dan pelawaan.

“Jadi saya sedang berbincang untuk buat satu ketetapan bahawa mereka perlu beroperasi dalam waktu tertentu yang mana tempoh maksimum adalah tiga tahun. Saya tidak mahu perkara ini berulang apabila mereka menamatkan operasi sesuka hati.

“Jika ada syarikat penerbangan yang tamatkan operasi lebih awal dari yang sepatutnya, kita akan lihat aspek teknikal untuk diambil tindakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang akhbar Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2023 di sini, hari ini.

Tambah Hameed Mytheen, kerajaan negeri berhasrat menjadikan LTAM destinasi penerbangan sewa khas atau charter sebagai penyelesaian awal kepada pemberhentian penerbangan komersial ketika ini.

Katanya, beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman telah berbincang dengan agensi-agensi pelancongan yang dilihat boleh mengendalikan penerbangan sedemikian.

“Perkara ini masih di peringkat perbincangan untuk jadikan LTAM sebagai (destinasi) charter flight. Ini lebih mudah.

“Untuk penerbangan harian juga sedang dibincangkan (usahakan). Sebagai permulaan kita akan pelawa penerbangan sewa khas ini turun (mendarat) di Melaka dahulu sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN